Sindiket edar ganja sasar pelajar kolej tumpas

Fakhrudin (kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas.
Fakhrudin (kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas.
A
A
A

PETALING JAYA - Sindiket pengedaran ganja tumpas dengan tertangkapnya lima pelajar warga asing dan seorang lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam serta Petaling Jaya pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sindiket berkenaan bergerak aktif sejak tiga hingga 12 bulan lalu dengan menyasarkan pelajar kolej sebagai pelanggan utama mereka.

Menurutnya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan tiga pelajar warga asing dan seorang lelaki tempatan dalam serbuan pertama di sebuah apartmen di Sg Way di sini pada Khamis.

"Kempat-empat suspek berumur dalam lingkungan antara 20 hingga 25 tahun. Hasil pemeriksaan menjumpai beg plastik disyaki ganja di dalam poket seluar suspek dianggarkan seberat 213 gram.

Fakhrudin menunjukkan barang-barang yang dirampas
Fakhrudin menunjukkan barang-barang yang dirampas

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah menjumpai lima ketulan mampat disyaki ganja dianggarkan seberat 5239 gram,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Menurut Fakhrudin, dalang sindiket yang masuk menggunakan visa pelajar itu dipercayai menjual dadah tersebut menerusi kenalan rapat mereka dalam bungkusan plastik kecil pada harga RM100 setiap tiga gram.

Sementara itu, bertindak atas maklumat risikan, dua lagi suspek warganegara asing berusia 29 dan 34 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Persiaran Golf, Shah Alam pada jam 6.30 petang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Polis menjumpai dadah disyaki ganja di dalam beg galas dianggarkan seberat 6125 gram,” ujar beliau.

Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM34,731 dengan berat berjumlah 11,577 gram yang dianggarkan boleh diedarkan kepada lebih kurang 11,577 orang penagih.

Peralatan memproses dan menghisap ganja yang dirampas.
Peralatan memproses dan menghisap ganja yang dirampas.

Sehubungan itu, kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan.