X

Kindly register in order to view this article
!

Rampas ketum bernilai RM168,330 di sempadan Malaysia-Thailand

Azhar (tiga kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas.
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 23 kes rampasan daun ketum seberat 5,710 kilogram bernilai anggaran RM168,330 di sempadan Malaysia-Thailand sejak 1 Julai lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Briged Utara, Superintenden Azhar Hashim berkata, dalam kes terbaharu Op Benteng Covid Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand dan Op Benteng Covid Kawalan Pesisiran Pantai Barat Utara Perlis sejauh 105 kilometer itu, pihaknya turut menahan seorang wanita warga Thailand dan lelaki warga tempatan.

Menurutnya, wanita warga Thailand berusia 21 tahun itu memasuki sempadan tanpa dokumen perjalanan sah ditahan di KTM Padang Besar disyaki memasuki pagar keselamatan yang telah dipotong pada 23 Julai lalu.

"Pada 24 Julai 2021, kami berjaya menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 21 tahun yang disyaki tonto atau penjaga jalan untuk aktiviti penyeludupan di Chuping, Perlis.

"Kita merampas sebuah motosikal yang disyaki dicuri berdasarkan semakan nombor pendaftaran selain sebilah parang tajam yang ditemui bersama lelaki itu," katanya kepada media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam pada Selasa.

Beliau berkata, PGA turut menemui 18 guni balutan plastik hitam mengandungi daun ketum yang ditinggalkan di khemah dalam kebun getah seberat 630 kilogram di Kok Mah, Padang Besar, 25 Julai lalu.

"Seterusnya, rondaan menggunakan helikopter di kawasan Felcra Lubuk Sireh dari pandangan udara ternampak objek berwarna putih di laluan tikus di tepi bukit menjadi petunjuk penemuan lima guni daun ketum seberat 150 kilogram pada 26 Julai 2021.

"Awal pagi tadi (27 Julai) kita menemui 10 guni daun ketum dalam plastik hitam ditinggalkan dalam semak seberat kira-kira 300 kilogram," katanya.

Menurut Azhar, Batalion 3 PGA Bidor Briged Utara akan meneruskan kawalan ketat menjaga sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti haram serta tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan.

"Sehubungan itu, orang ramai dirayu memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan sempadan dengan menghubungi Cawangan Risik dan Gerakan di talian 05-4343 701, pada masa sama identiti anda akan dirahsiakan," jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!