Anwar yakin pembatalan Proklamasi Darurat belum diperkenan Agong

Anwar iIbrahim
Anwar iIbrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa pembatalan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan kerajaan belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Anwar, dakwaan itu melihat kepada cara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjawab isu yang dibangkitkan itu.

Beliau juga menyifatkan Takiyuddin cuba mengelak untuk menjawab desakan tersebut dengan berselindung di sebalik Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

"Kalau tengok cara menteri jawab, saya pasti 100 peratus belum ada perkenan Agong (untuk pembatalan Ordinan Darurat) dan kalau itu tidak (berlaku), apa maknanya?" katanya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Selasa.

Anwar berkata, Azhar tidak sepatutnya terlibat dalam isu yang mengelirukan itu dan membenarkan Takiyuddin memberi penjelasan serta-merta.

"Sebab itu yang kita minta daripada speaker hanya satu, saya nak speaker putuskan agar benarkan menteri menjawab hari ini. Kalau itu pun speaker tak sanggup, saya dukacitalah. Ada masalah besarlah kita dengan speaker, kalau begitu," katanya.

Isu perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Proklamasi Darurat hangat di Dewan Rakyat pada Selasa apabila seorang demi seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) serta Parti Warisan Sabah (Warisan) bersuara mendesak agar Takiyuddin memberikan penjelasan sama ada pembatalan berkenaan sudah diperkenankan pihak istana atau tidak.

Antara yang bangun lebih awal ialah Gobind Singh Deo (PH-Puchong) RSN Rayer (PH-Jelutong), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Datuk Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna).

Artikel Berkaitan: