Pembekal sate didakwa 25 pertuduhan rogol anak saudara

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, pada Selasa atas pertuduhan merogol anak saudara sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, pada Selasa atas pertuduhan merogol anak saudara sejak tiga tahun lalu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini, pada Selasa atas 25 pertuduhan merogol anak saudaranya.

Tertuduh berusia 39 tahun dan sudah berkahwin bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Afizi Othman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan ke atas seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan, jam 5 pagi di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru di sini, pada 16 Oktober 2018.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua hingga 25, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke mangsa sama di alamat sama dan kesemua tindakan itu dilakukan tertuduh pada 2018 sehingga 31 Oktober tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Di mahkamah sama, tertuduh turut tidak mengaku salah atas pertuduhan menyimpan rakaman video lucah di dalam telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A51 dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal yang memohon jaminan tidak dibenarkan atas faktor keselamatan mangsa yang berada di bawah jagaan tertuduh, selain tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan sepanjang tempoh lebih dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Peguam Datuk Aravindhakshan M.N.V Pillai yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan rendah dikenakan ke atas tertuduh dengan alasan anak guamnya hanya berdepan dengan pertuduhan dan belum dibuktikan bersalah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 5 September depan sebagai sebutan semula kes.

Ahad lalu, Sinar Harian menyiarkan seorang pembekal sate ditahan selepas dipercayai bersubahat menyuruh anak saudaranya melakukan hubungan seks dengan suaminya sendiri di sebuah rumah di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kejadian berlaku sejak mangsa berusia 15 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki rogol anak saudara ditahan