X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya makan nasi berlaukkan garam

Romzi sekeluarga pernah makan nasi berlaukkan garam kerana tiada duit.
A
A

KOTA BHARU - Pernah makan nasi berlaukkan garam. Itulah gambaran paling mudah kesusahan yang dihadapi keluarga seorang pesakit buah pinggang kronik, Mohd Romzi Ab Rahman yang kehilangan pekerjaan sejak lima tahun lalu.

Bapa kepada empat cahaya mata yang berusia 38 tahun itu mengetahui dia menghidap masalah buah pinggang ketika berusia 18 tahun dan ia semakin serius sejak tahun 2016 sehingga memaksa dia melakukan rawatan dialisis setiap minggu.

Romzi memberitahu, dia sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Padang Tembak bersama isterinya, Nor Hamizah Mohd Yusof, 29, namun disebabkan kekangan untuk melakukan rawatan dan sebagainya, dia dan isteri terpaksa berhenti bekerja sepenuhnya.

"Dulu kami suami isteri bekerja, tapi sekarang anak-anak kecil lagi, jadi kami terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak-anak di rumah memandangkan saya terpaksa keluar mendapatkan rawatan tiga kali seminggu.

"Memang perit, tapi kami gagahi jua demi menjaga anak-anak dan meneruskan kehidupan seharian. Kami pernah makan nasi sahaja, pernah makan nasi berlaukkan garam dan pernah jua tidak makan langsung sebab tiada makanan," katanya kepada pemberita di sini.

Romzi dan isteri serta empat anak mereka iaitu Mohamad Amir Farhan, 8, Mohamad Anas Fikri, 7, Mohamad Amar Firdaus, 3, dan Mohamad Aniq Fakhri, 1, tinggal di sebuah rumah sewa di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini.

Romzi berkata, ia merupakan rumah sewa keempat pernah diduduki mereka dan dia sentiasa memastikan sewa bulanan dibayar sebaik mungkin bagi mengelak kehilangan rumah sewa akibat tidak mampu bayar.

Mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan pencen ilat sebanyak RM500 setiap bulan, dengan pendapatan itu sahaja mereka sekeluarga bergantung untuk membayar sewa rumah RM300 sebulan, makan minum termasuklah pembelian lampin pakai buang untuk anak-anak yang masih kecil.

Romzi menunjukkan kesan rawatan dialisis yang dilakukannya di HUSM.
Romzi menunjukkan kesan rawatan dialisis yang dilakukannya di HUSM.

Romzi yang mengalami kegagalan di kedua-dua belah buah pinggangnya mengakui, pergerakannya kini juga terbatas dan sering berdepan masalah lemah badan kesan daripada rawatan dialisis yang dilakukan.

"Pernah dua tiga kali saya tidur tepi jalan sebab tidak larat untuk pandu motosikal selepas melakukan rawatan dialisis. Namun saya gagahi jua, bertahan bagi memastikan saya tidak susahkan orang lain.

"Dengan keadaan buah pinggang saya yang kini berada ditahap akhir (kronik), saya hanya mampu berharap urusan kami selepas ini dipermudahkan Allah SWT memandangkan anak-anak pun masih kecil.

"Rawatan untuk dialisis di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pula ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), mujur ada mereka, ringan sikit beban saya untuk hal tersebut,"katanya.

Sementara itu, Nor Hamizah ketika ditemui memberitahu, dia pernah mengambil upah memasak laksa penang dan roti jala untuk menampung keluarga namun ia tidaklah seberapa.

"Saya boleh masak kalau ada orang tempah. Saya cuma tidak boleh keluar bekerja sebab anak-anak tiada siapa boleh jaga. Lagipun mereka bergantung kepada saya untuk kelas dalam talian dan sebagainya.

"Saya berharap dengan sumbangan yang kami dapat, bolehlah kami beli lampin dan susu untuk anak-anak. Selain itu, saya nak beli ayam, nak masak untuk mereka, sudah lama mereka minta nak makan ayam,"katanya.

Kisah suami isteri ini mula tular dalam media sosial sejak Isnin dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak terutamanya pemimpin setempat dalam menyalurkan bantuan seperti bakul makanan dan sumbangan kewangan.

Mana-mana bantuan boleh disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nor Hamizah iaitu 0301041000419146 atau CIMB Mohd Romzi iaitu 7621894358 atau boleh hubungi mereka di talian 017-9452198.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!