X

Kindly register in order to view this article
!

Pengasas Refuge For The Refugees didakwa buat komunikasi jelik di FB

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Refuge For The Refugees pada Selasa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik berkaitan dakwaan penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen melalui Facebook miliknya, tahun lepas.

Heidy Quah Gaik Li, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Wanita itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook menggunakan nama profil 'Heidy Quah' pada 5.30 pagi, 5 Jun 2020.

Hantaran itu kemudian dibaca pada 3.30 petang, 10 Jun 2020 di Pejabat Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam New Sin Yew yang mewakili Heidy memohon jaminan RM2,000.

"Jaminan RM7,000 itu terlalu banyak. Anak guam saya seorang aktivis dan pernah menerima beberapa anugerah termasuk Anugerah Women of the Future, jadi tiada risiko untuknya melarikan diri," kata peguam itu.

Mahkamah kemudian membenarkan Heidy diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Sept ini untuk sebutan semula kes. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!