Bekas ketua jabatan tidak mengaku terima rasuah RM141,030

Seorang bekas ketua jabatan projek kejuruteraan sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas 20 pertuduhan menerima rasuah.
Seorang bekas ketua jabatan projek kejuruteraan sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas 20 pertuduhan menerima rasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas ketua jabatan projek kejuruteraan sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas 20 pertuduhan menerima rasuah RM141,030 berhubung pembekalan alat jig, bermula 2016 hingga 2019 lalu.

Yekson Alef, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan untuk diri sendiri daripada seorang lelaki sebagai upah untuk memberikan pembekalan alat jig kepada Syarikat Magna Glokal Ventures oleh Syarikat Nissha Precision Technologies Sdn Bhd.

Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Sungai Chua, Kajang dan Affin Islamic Bank Berhad cawangan Bangi, Bandar Baru Bangi antara November 2016 hingga Februari 2019.

Atas kesemua pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dikenakan penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 serta dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan tidak mempunyai sebarang pekerjaan selepas berhenti, November tahun lalu.

"Dia juga perlu menyara ibu bapa dan keluarga termasuk tiga anak termasuk yang bongsu berusia sembilan bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.