Sarjan tidak mengaku minta, terima rasuah RM5,000

Tertuduh (kiri) dibawa anggota SPRM keluar dari bilik Mahkamah Sesyen di Kota Bharu pada Selasa.
Tertuduh (kiri) dibawa anggota SPRM keluar dari bilik Mahkamah Sesyen di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dakwaan meminta dan menerima rasuah RM5,000 bagi melepaskan dua tahanan yang ditangkap kerana memiliki ketum, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ameruddin Yusof, 29, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia sebagai sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh secara rasuah meminta untuk diri sendiri satu suapan wang tunai RM5,000 melalui seorang lelaki sebagai dorongan untuk membebaskan dua tahanan lelaki yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kampung Lembah Semerak, Pasir Puteh kira-kira jam 1 tengah hari pada 1 April 2019.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai RM5,000 melalui lelaki sama sebagai dorongan untuk membebaskan dua tahanan sama yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum di Bandar Baru Pasir Puteh kira-kira jam 6.50 petang pada 1 April 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding itu, Nor Hamizah menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersyarat perlu melaporkan diri, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Tertuduh pula memohon jaminannya dikurangkan kerana perlu menanggung seorang isteri, seorang anak kecil berusia dua bulan dan orang tua di kampung.

“Saya berkhidmat selama lima tahun bersama PDRM dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan. Saya mohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri pejabat SPRM terdekat setiap 1 hari bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Ogos depan.