Polis lengkapkan siasatan helikopter ambil tempahan nasi ganja

Laporan Sinar Harian Jumaat lalu.
Laporan Sinar Harian Jumaat lalu.
A
A
A

IPOH - Hasil siasatan penerbangan Helikopter Bell 505 kendalian sebuah syarikat swasta yang mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan nasi ganja pada Jumaat lalu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan berhubung perkara itu sedang dilengkapkan selepas beberapa individu yang terlibat telah tampil memberi keterangan.

"Pihak polis telah merakam keterangan daripada pengadu, pemilik premis makanan, pemilik syarikat helikopter dan semua individu yang didapati terlibat dalam aduan tersebut.

"Polis juga telah merakam kenyataan daripada ketua polis balai yang telah memberikan kebenaran.

"Siasatan masih diteruskan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mior Faridalathrash turut menegaskan bahawa penerbangan itu mempunyai kebenaran merentas negeri bagi melakukan penyelenggaraan helikopter dan bukannya untuk membawa tempahan nasi ganja.

"Kes telah disiasat di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter ambil nasi ganja ada kebenaran rentas negeri

Artikel Berkaitan:

'Datuk' antara dipanggil beri keterangan isu helikopter, nasi ganja

Penangan nasi ganja, ambil pesanan guna helikopter

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak memanipulasi kenyataan yang dikeluarkan media serta perlu membaca dan memahami kandungan berita bagi mengelak berlakunya sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan.

Polis sebelum ini mengesahkan bahawa semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati helikopter tersebut mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh.

Pada 23 Julai lalu, helikopter dikendalikan Systematic Aviation Services Sdn Bhd itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 9.08 pagi dan dikesan mendarat di Padang Ipoh antara jam 9.55 hingga 10.15 pagi untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah dari sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.

Kehadiran helikopter itu mengejutkan orang ramai kerana ia terbang rendah di udara sebelum mendarat.