USIM uruskan penghantaran pulang 555 pelajarnya

Penghantaran pelajar USIM dilaksanakan secara berperingkat iaitu sebanyak tiga fasa melibatkan 11 negeri.
Penghantaran pelajar USIM dilaksanakan secara berperingkat iaitu sebanyak tiga fasa melibatkan 11 negeri.
A
A
A

NILAI – Seramai 555 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berada di kampus di sini terlibat dengan program pergerakan pulang pelajar sempena cuti semester sesi akademik 2020/2021 bermula pada Selasa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, USIM akan menguruskan penghantaran pulang seramai 305 pelajar menggunakan kenderaan yang disediakan pihak universiti.

"Penghantaran pelajar ini dilaksanakan secara berperingkat iaitu sebanyak tiga fasa melibatkan 11 buah negeri.

"Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan kelancaran operasi ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, sekali gus memastikan pelajar tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, fasa kedua pergerakan pulang pelajar pula akan dilaksanakan pada 17 Ogos, diikuti fasa ketiga pada 25 Ogos depan.

Jelas beliau, ia dilaksanakan secara berperingkat kerana terdapat pelajar yang masih menduduki peperiksaan akhir semester.

"Bagi pelajar yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti, hanya akan dibenarkan untuk pulang menggunakan kenderaan sendiri. Pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali bagi perkhidmatan penerbangan.

"Semua pelajar diwajibkan mendaftar maklumat mereka secara dalam talian (online) yang disediakan dan turut diberikan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada pihak universiti sebagai rujukan kepada pihak berkuasa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat pelajar yang memilih untuk terus berada di kampus semasa cuti semester.

Justeru, katanya, pihak universiti akan memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar berkenaan diberi perhatian.