Sistem e-Tanah diperluas ke seluruh negara


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang memperluaskan sistem pentadbiran tanah secara eletronik (e-Tanah) ke seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem e-Tanah dijangka selesai dibangunkan di semua negeri dan boleh diguna pakai sepenuhnya selewat-lewatnya mulai tahun 2024.

"Dengan kejayaan pelaksanaan di Kuala Lumpur dan Perak, kerajaan Persekutuan kini sedang mengorak langkah untuk melaksanakan perluasan sistem e-Tanah secara kerjasama awam swasta (PPP) ke Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Tanah Negara pada Selasa.

Sambutan berkenaan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan.

Muhyiddin berkata, sistem e-Tanah telah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kuala Lumpur sejak tahun 2017.

"Sepanjang pelaksanaannya, sistem ini telah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di Kuala Lumpur," ujarnya.

Beliau berkata, semasa peringkat awal pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun 2020, sistem e-Tanah dapat beroperasi dengan baik seperti urusan berkaitan tanah.

"Carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara atas talian dengan cekap dan selamat," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhyiddin berkata, perjanjian konsesi sistem e-Tanah bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Putrajaya dan Labuan akan dimeterai.

"Saya difahamkan ia akan dimeterai pada hari ini (Selasa)," katanya.

Sambutan Hari Tanah Negara dengan tema 'Mendepani Cabaran Pasca Covid-19 dalam Pentadbiran Tanah' disambut setiap 27 Julai.

Ia bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh negara yang bertungkus lumus dalam memastikan perundangan dan pentadbiran tanah sentiasa relevan serta selari dengan arus perdana pembangunan negara.