Tanpa Proklamasi Darurat, pencegahan Covid-19 boleh guna Akta 342

Petugas barisan hadapan lengkap berpakaian PPE ketika berada di pekarangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak pada Isnin. Foto Bernama
Petugas barisan hadapan lengkap berpakaian PPE ketika berada di pekarangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini boleh terus dilakukan dengan menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), tanpa adanya Proklamasi Darurat, demikian menurut beberapa pakar undang-undang dan perlembagaan.

Peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Akta 342 telah digunakan sejak 18 Mac tahun lepas dan boleh terus digunakan sehingga usaha memerangi Covid-19 di negara ini selesai.

Haniff Khatri
Haniff Khatri

"Jika darurat batal atau pun tamat, maka Akta 342 yang merupakan Akta Parlimen tahun 1988 masih berkuat kuasa dan boleh terus digunakan seperti mana sedang digunakan selama-lamanya, sehinggalah Covid-19 selesai," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Katanya, semua siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan dan segala kompaun yang dikeluarkan adalah sah kerana ia dibuat di bawah Akta 342 dan bukannya Ordinan Darurat.

"Ramai yang keliru mengenai hal ini. Sebenarnya tiada isu mengenai kompaun yang telah dibayar, belum dibayar dan akan dibayar sebab itu di bawah Akta 342... Jadi tida ada isu mengenai usaha membendung Covid-19, PKP, kompaun dan sebagainya," katanya mengulas keputusan kerajaan berhubung Proklamasi Darurat dan pembatalan enam Ordinan Darurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pelanjutan darurat, yang dijadual tamat pada 1 Ogos.

Berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan turut memutuskan untuk membatalkan enam ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat, berkuat kuasa 21 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohamed Haniff Khatri berpandangan proses penamatan yang dibuat melalui pengumuman di Dewan Rakyat adalah salah dari segi perlembagaan kerana penamatan hanya boleh dibuat melalui dua cara iaitu oleh pihak yang memberikan Proklamasi Darurat iaitu Yang di-Pertuan Agong atau usul pembatalan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, kerajaan masih boleh bertindak secara efektif tanpa proklamasi dan undang-undang darurat.

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara itu berkata bezanya nanti tiada tindakan segera dan drastik boleh diambil, malah semuanya perlu melalui proses lazim seperti sebelum Proklamasi Darurat iaitu mengikut saluran undang-undang sedia ada.

"Perkara yang positif bila darurat tidak dilanjutkan ialah dapat mengembalikan semula suasana normal dalam negara kerana apabila tiada darurat, bermakna tiada tindakan dan undang-undang tidak seiring dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan, dan ia bermakna tiada kuasa eksekutif seluas-luasnya.

"Kerajaan kembali kepada undang-undang dan peraturan sebelum darurat, pandemik Covid-19 ditangani dengan undang-undang sedia ada dan semua kuasa tambahan ketika darurat kepada agensi-agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, kembali kepada Polis Diraja Malaysia di bawah undang-undang biasa," katanya.

Katanya, seperti undang-undang lain, sesebuah ordinan akan tamat apabila ia diwartakan mengikut tarikh yang disebut dalam warta. Oleh itu, bagi kompaun yang telah dikeluarkan sebelum ordinan ditamatkan, ia adalah sah dan boleh dikuatkuasakan mengikut peruntukan ordinan berkenaan.

Pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang yang juga bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara pula menyifatkan penamatan darurat itu sebagai 'democracy is restored'.

Salleh Buang
Salleh Buang

"Kita tidak perlu darurat dan saya lihat penamatan ini sebagai suatu yang positif. Laksanakan Akta 342 itu... mana peraturan yang lemah, bercelaru dan kerap mengelirukan itu, kalau perlu ditambah baik, lakukan.

"Badan eksekutif tidak lagi boleh buat sesuka hati seperti ketika zaman darurat... semuanya mesti jawab kepada Parlimen, malah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) boleh semak perbelanjaan dan perjalanan badan eksekutif," katanya. - Bernama