Penunggang motosikal maut digilis treler

Treler muatan konkrit yang terlibat dengan kemalangan pagi tadi. (Gambar kecil: Motosikal mangsa rosak teruk selepas digilis treler dalan kejadian kemalangan pagi tadi.)
Treler muatan konkrit yang terlibat dengan kemalangan pagi tadi. (Gambar kecil: Motosikal mangsa rosak teruk selepas digilis treler dalan kejadian kemalangan pagi tadi.)
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah treler dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Tetembok berhampiran bulatan Udini di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa Mohammad Akif Aiman Abdul Malek, 20 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah Greenlane ke arah Glugor dikatakan gagal mengawal motosikalnya dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Akibat kejadian itu, mangsa merempuh bahagian depan treler berkenaan sebelum dia digilis treler yang membawa muatan besi konkrit dan maut di tempat kejadian.

"Difahamkan treler berkenaan dalam perjalanan daripada Lumut menghala ke Air Itam menghantar muatan besi konkrit berkenaan.

"Pemandu treler berkenaan yang berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.

Che Zaimani berkata, siasatan lanjut mengenai punca kejadian berkenaan masih lagi dalam siasatan dan sedang mengesan saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan selain akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: