Lubnan bagaikan jatuh ditimpa tangga

Lubnan mengalami kenaikan kes Covid-19 akibat penularan varin Delta. - Foto AFP
Lubnan mengalami kenaikan kes Covid-19 akibat penularan varin Delta. - Foto AFP
A
A
A

BAGAIKAN sudah jatuh ditimpa tangga, Lubnan yang berhadapan dengan masalah ekonomi dan kewangan meruncing kini terpaksa menghadapi gelombang baharu jangkitan kes Covid-19 hinggakan terdapat laporan hospital-hospital kerajaan kekurangan peralatan mencukupi untuk merawat pesakit pandemik tersebut.

Menurut perangkaan pada 26 Julai lalu, negara itu mencatatkan kes keseluruhan sebanyak 555,302 manakala yang meninggal dunia secara keseluruhan ialah 7,892 orang akibat pandemik tersebut.

Kira-kira 536,111 orang telah kembali sembuh selepas menjalani rawatan akibat dijangkiti dengan pandemik tersebut.

Sebelum ini, doktor-doktor di negara berkenaan telah memberi amaran Lubnan akan bergelut untuk untuk menghadapi kebanjiran pesakit Covid-19 disebabkan oleh penularan varian Delta dari India yang cepat merebak.

Varian Delta dianggap pantas merebak dalam kalangan penduduk oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pakar-pakar perubatan memberi amaran bahawa gelombang baharu pandemik itu akan memberi tamparan hebat terhadap sistem kesihatan Lubnan sejak negara tersebut dilanda dengan krisis kewangan pada lewat tahun 2019.

Negara itu juga diburukkan dengan isu krisis ekonomi yang masih belum diselesaikan lantaran situasi politik yang tidak stabil di Lubnan.

Artikel Berkaitan:

Letupan kuat ammonium nitrat yang membunuh 200 orang pada Ogos tahun lalu menyebabkan Hassan Diab meletakkan jawatan.
Letupan kuat ammonium nitrat yang membunuh 200 orang pada Ogos tahun lalu menyebabkan Hassan Diab meletakkan jawatan.

Ekoran peletakkan jawatan calon Perdana Menteri, Saad Hariri baru-baru ini, Presiden Lubnan Michel Aoun terpaksa memanggil satu perundingan politik antara ahli-ahli Parlimen pada Isnin lalu bagi mencari seorang calon Perdana Menteri negara tersebut yang baharu.

Negara itu kini tidak lagi mempunyai sebuah kerajaan yang berfungsi dengan lancar apabila Hassan Diab meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran kejadian letupan di Pelabuhan Beirut yang menyebabkan lebih 200 orang terbunuh pada Ogos tahun lalu.

Diab kini masih menjadi Perdana Menteri Lubnan sementara.

Hariri pula meletakkan jawatan pada 15 Julai lalu selepas sembilan bulan gagal untuk menubuhkan sebuah kerajaan kerana nama-nama Kabinet yang dikemukakan kepada Presiden Lubnan tidak dipersetujuinya.

Dalam perkembangan lain, jemaah umrah di Lubnan terpaksa menjalani kuarantin di sebuah negara lain buat ketika atas arahan kerajaaan Arab Saudi pada Ahad sebelum dibenarkan memasuki negara beraja berkenaan.

Pengurus sebuah hospital awam terbesar negara itu, Firass Abiad berkata, jangkitan kes Covid-19 semakin meningkat dan Lubnan menyaksikan peningkatan 20 peratus kes kritikal hanya dalam satu hari sebelum ini.

Beliau menganggap angka itu sebagai berita buruk dan bilangan kes jangkitan Covid-19 dipercayai akan meningkat.

Abiad berkata, ada ketikanya pesakit diminta untuk mencari ubat antibiotik dan bius di sebuah hospital lain dan farmasi kerana kekurangan ubat-ubat tersebut di hospital awam.

Pihak hospital juga mengalami masalah kekurangan tenaga kerana ia hanya memperoleh selama dua atau tiga jam bekalan elektrik dan selebihnya adalah menggunakan janakuasa, kata pengurus tersebut.

Baru-baru ini pihak farmasi menyatakan pihak pengimport enggan membuat penghantaran kerana tidak berpuas hati dengan harga baharu ubat-ubatan yang tidak lagi disubsidi oleh kerajaan.

Kira-kira 1,300 doktor pula telah berhijrah sejak krisis ekonomi berlaku pada tahun 2019 dan jumlah itu semakin meningkat dalam tempoh beberapa bulan lepas. - Agensi