Peniaga, pemandu e-hailing, penghantar makanan terdedah risiko miskin

Muhammed Abdul Khalid, Kian Ming, Kamarulazizi
Muhammed Abdul Khalid, Kian Ming, Kamarulazizi
A
A
A

SHAH ALAM - Peniaga, pemandu e-hailing dan penghantar makanan adalah antara golongan paling berisiko untuk jatuh miskin serta terkesan akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, golongan peniaga, pemandu e-hailing, penghantar makanan juga antara kumpulan yang tidak mendapat perlindungan sosial dan sukar mendapat akses kepada bantuan kerajaan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, sebahagian mereka tidak layak untuk mendapat bantuan kerana dikatakan mampu menjana pendapatan sendiri apabila kelompok tersebut cuba memohon bantuan kewangan.

Kian Ming berkata demikian berdasarkan pengalaman selaku ahli Parlimen di kawasan beliau yang mempunyai pengundi teramai di Malaysia iaitu seramai 190,000 orang pengundi daripada lebih 500,000 penduduk.

“Apabila mereka tidak dapat menjana pendapatan, mereka juga tidak diklasifikasikan sebagai penganggur atau hilang pekerjaan kerana pihak DOSM mengelaskan golongan tersebut sebagai kumpulan yang boleh kembali bekerja walaupun pendapatan mereka terjejas.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mula mendaftarkan mereka yang berkerja tanpa perlindungan sosial ini di bawah kedua-dua badan tersebut.

“Salah satu cara untuk membantu mereka menjana pendapatan ialah membuka semula ekonomi, namun untuk berbuat demikian, kadar vaksinasi di negara ini harus dipercepatkan,” katanya selaku salah seorang panel dalam Forum bertajuk Garis-Garis Utama Menangani Kemiskinan Nasional yang diadakan secara maya pada Sabtu.

Forum anjuran Persatuan Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Adab Youth Garage (AYG) dan Reinforcing Impact for Society Empowerment (RISE4U) dengan kerjasama WAPtv sempena Muktamar Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor Kali Ke-14.

Artikel Berkaitan:

Selain Kian Ming, panel jemputan lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Global Universal Integrated Development (GUIDE) merangkap Mantan Pengarah Pusat Kajian Lestari Global Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Kamarulazizi Ibrahim dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Malaysia Institute of Economic Research (MIER), Dr. Muhammed Abdul Khalid yang juga penulis buku ‘The Colour of Inequality.’

Selain itu, Timbalan Pengerusi FEM merangkap Profesor Kehormat (Ekonomi) Universiti Selangor (Unisel) Prof Dr Saadiah Mohamad selaku moderator turut menyentuh berkenaan pengumuman Khazanah Research Institute yang menganggarkan bahawa sebanyak 1.2 juta isi rumah mengalami miskin mutlak akibat krisis Covid-19 di Malaysia.

Dalam pada itu, Kamarulazizi berkata, walaupun terdapat jangkaan mengenai kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi, namun pemimpin golongan elitis perlu bersikap adil dan tidak menzalimi rakyat serta perlu menunjukkan contoh yang baik dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Pada forum tersebut, beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap pemimpin yang gagal memaparkan teladan yang baik dalam memimpin rakyat ketika pandemik melanda negara.

“Terdapat jurang kemiskinan yang besar dan ia berkait dengan dasar pembangunan yang gagal.

“Malangnya, Malaysia merupakan negara yang gagal dan saya tidak nampak para pemimpin yang tahu apa yang mereka sedang lakukan, mungkin ada segelintir yang sebaliknya, namun ada dalam kalangan mereka yang senyap sahaja,” katanya.

Sementara itu, Muhammed Abdul Khalid menyentuh berkenaan sistem bantuan rakyat sedia ada yang perlu diperbaiki untuk membantu rakyat dengan lebih pantas memandangkan ramai antara mereka mengalami kesusahan dan kelaparan sejak awal krisis Covid-19 tercetus.

Beliau turut berkongsi pengajaran daripada kajian UNICEF bertajuk ‘Families on the Edge’ berkenaan kepentingan melihat kemiskinan bukan sahaja dari aspek pendapatan tetapi dari dimensi pelbagai termasuk kesihatan mental, pemakanan, pendidikan kanak kanak dan sebagainya.

Katanya, rakyat juga perlu menolak pemimpin dan pembuat polisi yang ‘jadong’ (jahat, bodoh, sombong) seperti yang diingatkan oleh sarjana ulung, Profesor Syed Hussein Alatas.

Pada akhir forum tersebut, para panelis menekankan bahawa semua pihak khususnya pemerintah perlu memperbaiki dasar sedia ada bagi menjamin keyakinan rakyat terhadap proses pemulihan ekonomi berjalan dengan cepat dan berkesan serta berupaya mengakhiri keperitan yang ditanggung rakyat.