Umum rasmi projek bukan untuk pancing undi: MB Selangor

Amirudin. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Amirudin. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata tindakannya memberitahu pengundi yang beliau akan datang merasmikan ‘projek’ di Semenyih selepas PRK bukan berniat untuk memancing undi.

Menurutnya, projek berkenaan dipercayai merujuk kepada projek perumahan yang sudah lama dirancang untuk dirasmikan sejak minggu lepas.

Namun, ia tidak dirasmikan lagi kerana menghormati tempoh kempen selain mahu menjaga etika ketika kempen PRK DUN Semenyih.

"Tunggu pengumuman, saya tak nak orang kata ada kaitan dengan pilihan raya.

"Sepatutnya sudah ada (dirasmikan) dalam minggu lepas atau awal minggu ini, tapi kita tak boleh nak teruskan sebab kita nak jaga etika serta perilaku kita ketika kempen," katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran agenda Aiman 4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching, Semenyih, malam tadi.

Hadir sama dalam program tersebut adalah calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Sebelum itu, ketika berucap dalam program berkenaan, Amirudin memberitahu hadirin yang hadir bahawa beliau akan datang merasmikan sebuah projek di Semenyih selepas PRK nanti.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya adakah projek tersebut merupakan projek perumahan, Amirudin menjelaskan ‘ia adalah berkenaan rakyat mampu memiliki rumah yang selesa’.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pemberian hamper dan khidmat membaik pulih rumah sempena kempen PRK DUN Semenyih adalah bercanggah dengan peraturan akta pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kesalahan berkenaan.

Beliau juga berharap pihak yang mempunyai maklumat lengkap melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).