X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Lapan laluan dalam Kampung Teluk Menara ditutup

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menutup lapan laluan di dalam kawasan Kampung Teluk Menara, Manir susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung terbabit bermula Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, sempadan jalan utama Kampung Teluk Menara dan Kampung Beladau Kolam turut ditutup sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD.

Menurutnya, polis juga akan mengadakan satu sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Kampung Banggol dan Kampung Teluk Menara bagi mengawal pergerakan keluar masuk ke kawasan PKPD.

"Oleh itu kita akan menempatkan pusat kawalan PDRM di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Menara bagi memudahkan penduduk mendapatkan kebenaran keluar kawasan PKPD atas sebab kecemasan atau sebab dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Abdul Rahim turut menasihati penduduk supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak bertindak mengalih, mengubah atau merosakkan penghadang jalan yang ditempatkan di kawasan PKPD.

Beliau berkata, perbuatan demikian boleh menyebabkan mereka didakwa mengikut peruntukan undang-undang.

"Kita nasihatkan penduduk mengurangkan pergerakan kecuali atas sebab urusan penting.

"Pihak polis akan membuat rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi mengenai pasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar masuk ke kawasan PKPD," katanya.

Kampung Teluk Menara, Manir dikenakan PKPD bermula 27 Julai sehingga 9 Ogos.

Berdasarkan infografik Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), sebanyak 88 kes positif Covid-19 direkodkan dalam Kluster Teluk Menara hingga kini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!