Perlawanan Kedah Darul Aman FC, Kuching City FC ditunda

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

PERLAWANAN membabitkan kelab Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kelab Liga Premier, Kuching City FC (KCFC) ditunda, susulan arahan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati beberapa pemain dan pegawai kedua-dua pasukan dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR sebelum hari perlawanan masing-masing minggu lepas.

“Menurut laporan pasukan berkenaan, maklumat tarikh dan tempoh kuarantin terpaksa dijalani oleh mereka menyaksikan KDA FC dikuarantin bermula 21 Julai lepas hingga 3 Ogos manakala KCFC pula melalui proses sama bermula 24 Julai hingga 9 Ogos,” menurut kenyataan dikeluarkan pada Isnin.

MFL telah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM melalui Kementerian Belia dan Sukan agar hanya pegawai dan pemain yang positif Covid-19 sahaja dikuarantin.

Jumaat lalu, MFL mengesahkan dua pemain KDA FC positif Covid-19, sekali gus memaksa perlawanan Liga Super menentang Penang FC pada Sabtu lepas ditunda ke satu tarikh baharu.

Sementara aksi Liga Premier melibatkan KCFC dan Sarawak United FC dijadual Sabtu lepas terpaksa ditunda juga ke tarikh lain selepas beberapa pemain dan pegawai kedua-dua pasukan itu didapati positif Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: