Semak semula definisi perlu, bukan perlu: DPIM

Mohd Yahya
Mohd Yahya
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor mencadangkan agar kerajaan menyemak semula definisi perlu dan bukan perlu dalam usaha menyelamatkan usahawan dan pekerja dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM).

Pengerusi DPIM Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, perkara itu perlu diteliti kerana walaupun sesuatu perniagaan itu bukan perlu bagi seseorang tetapi ia perlu kepada individu lain.

“Sebagai contoh, sebuah pasar raya besar dibenarkan menjual peti sejuk, televisyen dan pakaian, sedangkan kedai yang hanya menjual barangan elektrik atau pakaian tidak dibenarkan beroperasi. Bukan keperluan bagi seseorang tetapi mungkin keperluan kepada orang lain dan begitu juga sebaliknya.

“Apa yang penting ialah mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai bagi perniagaan dan perusahaan untuk beroperasi seperti bilangan maksimum orang dalam sesebuah kedai atau sesebuah kawasan termasuk penjual,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Yahya berkata, antara langkah lain dalam menyelamatkan sektor ini ialah menyediakan geran melalui persatuan perdagangan masing-masing untuk membangunkan semula dan meneruskan perniagaan atau perusahaan iaitu setiap usahawan mendapat RM5,000 bagi pengusaha mikro, RM10,000 untuk pengusaha kecil dan RM20,000 bagi pengusaha sederhana.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu memansuhkan had 10 kilometer (km) dan ditukar kepada had sempadan mukim kerana ia akan membenarkan pelanggan dari mukim yang sama untuk mengunjungi sesuatu perniagaan walaupun perniagaan berada lebih 10 km dari kediaman pelanggan.

“Kerajaan juga boleh mengubah pendekatan sekatan perjalanan daripada mengikut negeri kepada mengikut mukim supaya mukim yang mempunyai kes rendah diberi kelonggaran SOP berbanding mukim-mukim lain dalam satu daerah dan negeri yang mempunyai kes yang tinggi,” katanya.

Di samping itu, sesi penerangan sekurang-kurangnya melalui taklimat secara maya juga perlu diadakan kepada semua usahawan PKSM dan pekerja mereka untuk memberi pendedahan mengenai norma baharu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) supaya mereka dapat menjalankan perniagaan dengan lebih cermat dan selamat.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yahya berkata, kesemua usahawan PKSM dan pekerja mereka perlu menerima vaksin Covid-19 secepat mungkin supaya perniagaan dapat dijalankan dengan lebih selamat. - Bernama