X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia ditutup pada paras harian terendah

A
A

BURSA Malaysia meneruskan kemerosotan pada Jumaat lepas untuk ditutup pada paras harian terendah pada Isnin berikutan saham secara menyeluruh mengalami tekanan jualan.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.91 mata atau 0.72 peratus untuk ditutup pada 1,512.53 daripada 1,523.44 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks dibuka tinggi 1.03 mata kepada 1,524.47 dan bergerak antara 1,512.53 dan 1,525.73 sepanjang hari.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 702 kepada 343, manakala 428 kaunter tidak berubah, 764 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 4.82 bilion unit bernilai RM2.80 bilion daripada 5.41 bilion unit bernilai RM3.21 bilion pada Jumaat.

Peniaga berkata, pasaran ekuiti tempatan dibuka tinggi, namun merosot selepas itu untuk kekal rendah sepanjang sesi dagangan.

“Bursa tempatan diniagakan tidak banyak berubah ekoran pelabur menjadi berhati-hati bagi menilai isu-isu yang dibangkitkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, prestasi pasaran turut seiring dengan bursa serantau yang bergelut untuk kekal positif, meskipun penutup Wall Street pada paras tertinggi baharu pada Jumaat, didorong musim pelaporan kewangan Amerika Syarikat yang begitu memberangsangkan.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 0.57 peratus kepada 3,138.99, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 4.13 peratus kepada 26,192.32 dan Kospi Korea Selatan jatuh 0.91 peratus kepada 3,224.95, Nikkei 225 Jepun meningkat 1.04 peratus kepada 27,833.29.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, kebanyakan indeks serantau adalah lebih rendah kerana jualan besar-besaran di pasaran ekuiti China berikutan langkah kerajaan negara itu melarang pengajaran berasaskan keuntungan dalam subjek teras yang diajar di sekolah, justeru menjejaskan kaunter berkaitan pendidikan.

“Di pasaran domestik, penurunan kes harian Covid-19 kepada 14,516 kes hari ini (Isnin) berbanding angka tertinggi semalam (Ahad) iaitu 17,045, dilihat tidak cukup untuk merangsang keyakinan pasaran,” katanya.

Menurutnya, kaunter berkaitan sarung tangan getah seperti Hartalega mencatat kemerosotan tertinggi dalam indeks FBM KLCI, turun 3.9 peratus pada Isnin walaupun kes masih tinggi melebihi 10,000.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB turun tiga sen masing-masing kepada RM8.00 dan RM9.70, Public Bank turun dua sen kepada RM4.00, Petronas Chemicals merosot enam sen kepada RM7.99 dan IHH Healthcare jatuh empat sen kepada RM5.77.

Bagi saham aktif, SMTrack menambah satu sen kepada sembilan sen, PUC meningkat dua sen kepada 17.5 sen, MAG Holdings naik setengah sen kepada 20 sen, waran Wegmans turun 2.5 sen kepada 4.5 sen, manakala Kanger International tidak berubah pada tujuh sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 83.82 mata kepada 11,094.31,Indeks FBMT 100 turun 79.35 mata kepada 10,793.27 dan Indeks FBM Emas rendah 108.30 mata kepada 12,216.86.

FBM ACE berkurangan 99.73 mata kepada 7,323.50 dan FBM 70 jatuh 113.37 mata kepada 14,607.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 91.67 mata kepada 14,753.24, Indeks Perladangan turun 54.26 mata kepada 6,189.28, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri merosot 0.86 mata kepada 189.01.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.66 bilion saham bernilai RM2.10 bilion daripada 3.19 bilion saham pada Jumaat bernilai RM2.48 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 437.31 juta unit bernilai RM44.91 juta daripada 291.02 juta unit bernilai RM31.28 juta pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 1.72 bilion saham bernilai RM647.83 juta daripada 1.93 bilion saham bernilai RM691.79 juta sebelum ini.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 672.21 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (820.28 juta), pembinaan (138.27 juta), teknologi (316.85 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.04 juta), hartanah (177.47 juta), perladangan (31.56 juta), REIT (4.98 juta), dana tertutup (18,600), tenaga (235.15 juta), penjagaan kesihatan (82.29 juta), telekomunikasi dan media (29.29 juta), pengangkutan dan logistik (83.40 juta) serta utiliti (7.87 juta). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!