MOT dalam usaha laksana PPVIN sektor pengangkutan di 6 negeri

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang dalam usaha mendapatkan kelulusan bagi pelaksanaan pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) sektor pengangkutan baharu secara bersasar di Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan pada Isnin berkata, terdapat lima PPVIN sektor pengangkutan yang beroperasi bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

PPVIN sektor pengangkutan pertama dibuka adalah di Pelabuhan Klang meliputi sektor maritim, diikuti PPVIN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meliputi sektor udara yang telah memanfaatkan sebanyak 32,243 orang penerima vaksin keseluruhannya.

PPVIN di Stesen LRT Putra Heights dan Kompleks Bas Cheras Selatan bagi pengangkutan awam darat pula melibatkan 5,512 kakitangan perkhidmatan rel dan bas, dan PPVIN yang baharu dibuka hari ini adalah di Stesen KL Sentral bagi sektor pengangkutan darat (rel).

Menurut Ka Siong, PPVIN Stesen KL Sentral dikelolakan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dengan 1,451 kakitangan KTMB termasuk anak syarikatnya serta 390 kakitangan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan ERL Maintenance Support Sdn Bhd akan menerima suntikan vaksin di PPVIN berkenaan mulai hari ini (Isnin).

“Mereka adalah kakitangan barisan hadapan daripada pelbagai bidang kerja yang belum menerima suntikan vaksin dos pertama," katanya.

Menurut Ka Siong, kakitangan KTMB yang akan menerima vaksin di PPVIN Stesen KL Sentral adalah kakitangan dari Tanjung Malim hingga Gemas, dan KTMB juga merancang mewujudkan beberapa lokasi PPVIN untuk kakitangan mereka di wilayah utara, selatan dan Pantai Timur.

Mengenai usaha vaksinasi bagi pemandu teksi dan e-hailing, Wee berkata sebanyak 129,267 nama daripada kategori berkenaan telah dikemukakan dan kira-kira 67 peratus daripada jumlah itu telah menerima vaksin atau mendapat tarikh janji temu mereka.

Artikel Berkaitan:

Bagi penunggang p-hailing (penghantar makanan) pula, sebanyak 73,394 nama telah dikemukakan dan 56.4 peratus daripada jumlah itu telah menerima vaksin dan tarikh janji temu. - Bernama