X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan setuju lanjut kontrak 14,000 doktor, pegawai farmasi

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju melanjutkan kontrak kira-kira 14,000 doktor perubatan, pergigian dan pegawai farmasi bagi tempoh dua tahun yang membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.2 bilion.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelanjutan itu melibatkan 7,000 setiap kohort atau tahun.

"Kerajaan juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

"Jadi langkah itu bagi memastikan pegawai-pegawai itu berjaya melengkapkan pengajian kepakaran," katanya pada sesi penggulungan perbahasan sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan-PH) dan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) mengenai usaha kerajaan menyelesaikan isu lantikan ke jawatan tetap doktor kontrak.

Beliau berkata, pada masa sama Perdana Menteri juga telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi yang berkaitan untuk merangka sebuah pelan komprehensif bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah itu.

Katanya, ia merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang bagi memulihkan hala tuju perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

"Isu ini sudah lama sejak 2016 lagi. Kerajaan sangat prihatin terhadap tuntutan petugas kesihatan berstatus kontrak ini dan sedar sumbangan mereka sebagai barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam situasi pandemik Covid-19.

"Sehubungan itu Perdana Menteri pada 23 Julai lalu telah mengumumkan antara lain kerajaan bersetuju sebagai langkah penyelesaian segera supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!