Kluster Covid-19 diisytihar atas kapal berlabuh di Bintulu

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Seramai 24 orang pekerja sebuah kapal yang berlabuh di perairan Bintulu, kira-kira 580 kilometer ke utara dari sini, disahkan positif Covid-19 dan diumumkan sebagai Kluster Gom Tujuh, yang merupakan salah satu daripada dua kluster baharu di Sarawak, pada Isnin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hariannya di sini memaklumkan mereka yang disahkan dijangkiti virus itu merupakan di antara 50 pekerja yang disaring di atas kapal industri petroleum Grade One Manjung 7 yang telah berada di perairan Bintulu sejak 30 Jun lepas.

“Empat individu masih menunggu keputusan (ujian saringan Covid-19) sementara 22 individu lagi didapati negatif,” menurut kenyataan itu.

Selain itu Kluster Jalan Tatau-Selangau di Tatau turut diisytiharkan setelah 18 orang penghuni rumah pekerja sebuah ladang kelapa sawit di situ didapati positif sementara 206 orang lagi masih menunggu keputusan saringan mereka.

JPBN turut memaklumkan empat kluster tamat iaitu Kluster Beladin (Pusa), Kluster Jalan Samarakan (Tatau), Kluster Sawai Niah (Subis) dan Kluster Sungai Separai (Tatau) setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari yang lepas melibatkan kluster berkenaan.

Sarawak pada Isnin merekodkan 356 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 73,342 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: