Keputusan adil, bukti undang-undang telus

MANOGARAN
MANOGARAN
A
A
A

KUANTAN - “Ini adalah keputusan yang adil dan membuktikan sistem kehakiman negara semakin telus,” kata Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran.

Beliau tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya selepas berjaya membuktikan wujudnya amalan rasuah pada PRU14 sehingga menyebabkan kemenangan kepada Datuk Sivarraajh Chandran dari BN.

“Ini kes pertama dapat dibuktikan dan ia pasti akan menjadi teladan buat semua pemimpin agar tidak menggunakan wang untuk membeli undi.

“Kemenangan ini membuktikan sistem kehakiman.. undang-undang sudah berubah.. malah hakim juga dapat mengikuti undang-undang berdasarkan bukti yang ada dalam kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur hari ini membatalkan keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Hakim Azizah Nawawi juga mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula.

Manogaran memfailkan dakwaan itu di mahkamah itu pada 4 Jun lalu, selepas ragu dengan kemenangan yang diraih calon BN.

Pada PRU lalu, ketua pemuda MIIC itu mengalahkan calon Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

Sivarraajh memperolehi 10, 307 undi manakala Manogaran pula 9,710.

Calon Pas, Wan Mahadir Wan Mahmud mendapat 3,587 dan calon PSM dan Berjasa hilang wang pertaruhan mereka.

Menyentuh mengenai keputusan itu, Manogaran berkata, mahkamah memberi peluang kepada Sivarraajh untuk memfailkan rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Kalau Sivarraajh failkan rayuan.. kes ini akan didengar di Mahkamah Persekutuan dan di situ akan memperolehi keputusan muktamad sama ada saya menang lagi kes atau sebaliknya,” katanya.

Ditanya sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Pilihanraya Kuala Lumpur, beliau yang merupakan bekas Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, biar pucuk pimpinan tertinggi menentukan perkara itu.

Jelasnya, sekiranya dipilih, beliau bersedia untuk bertanding di kerusi itu sekali lagi.