Pembatalan enam Ordinan Darurat mengejutkan: Faiz Fadzil

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kesemua enam Ordinan Darurat dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 21 Julai lalu adalah mengejutkan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia dibuat dengan sembunyi dan tidak digazetkan dalam Warta Kerajaan.

Menurutnya, Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan undang-undang darurat dibentangkan dan diluluskan di Parlimen tetapi ia tidak dilakukan oleh kerajaan PN.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan takut untuk membentangkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan undang-undang lain dipinda atau diluluskan ketika darurat sebelum ini dilaksanakan.

"Tindakan kerajaan PN ini kerana mereka bimbang Ordinan Darurat akan ditolak dan secara tidak langsung menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada sokongan atau keyakinan majoriti ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Faiz yang juga seorang peguam berkata, perkembangan tersebut jelas bahawa legitimasi dan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini telah luntur.

Sehubungan itu, beliau menggesa Muhyiddin seharusnya menjadi 'anak jantan' untuk meletak jawatan.

"Jangan dijadikan alasan tiada calon lain yang mempunyai sokongan majoriti untuk mengelak meletak jawatan kerana ia perkara kedua sedangkan perkara pokok atau fundamental dalam Perlembagaan adalah Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan apabila hilang keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, kesan kritikal daripada pembatalan itu adalah segala tindakan yang dilakukan kerajaan PN ketika darurat kini menjadi batal dan tiada kesan.

"Ini termasuk sesiapa yang dikompuan melanggar prosedur operasi standard (SOP) melebihi amaun RM1,000 juga terbatal.

"Kompaun melebihi jumlah RM1,000 sehingga RM10,000 dibuat berdasarkan pindaan Akta 342 ketika darurat dan dengan pembatalan ini, maka kompaun seumpama itu adalah terbatal.

"Selain itu, mana-mana individu yang didakwa atas kesalahan berita tidak benar (fake news) juga terbatal dan seharusnya pertuduhan ditarik balik dan satu perintah DNAA diberikan dan mereka dilepaskan oleh mahkamah," katanya.

Faiz berkata, implikasi pembatalan secara senyap itu cukup besar.

"Oleh itu, kerajaan PN hendaklah menunjukkan bukti keputusan kerajaan PN membatalkan enam Ordinan Darurat tersebut.

"Rakyat perlu tahu hak mereka sebagai warganegara yang dilindungi di bawah Perkara 5 (1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.