X

Kindly register in order to view this article
!

Cukai keuntungan luar biasa tidak diperluaskan

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen pada Isnin.- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan bantuan terus diberikan untuk membantu rakyat dan perniagaan dengan mengoptimumkan perbelanjaan ataupun pinjaman, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, sebarang pengenalan baharu untuk mengenakan cukai keuntungan luar biasa perlu diteliti dengan berhati-hati kerana perkara tersebut boleh memberi persepsi negatif kepada pelabur yang beranggapan kerajaan mengambil kesempatan atas keuntungan berganda yang dijana berikutan krisis kesihatan yang melanda dunia.

“Pengenalan cukai keuntungan luar biasa secara tiba-tiba boleh menggugat keyakinan pelabur yang telah membuat pelaburan di negara ini tanpa mengambil kira elemen cukai tersebut atas pengeluaran siap syarikat.

“Sekiranya pelabur sedia ada di Malaysia memilih untuk berkembang di luar negara, ini boleh menyebabkan kemungkinan negara kehilangan peluang pelaburan yang lebih tinggi pada masa depan dalam industri yang terlibat,” katanya pada sesi penggulungan pada sidang khas Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Tengku Zafrul menjawab soalan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai cadangan untuk cukai keuntungan luar biasa dikenakan kepada syarikat gergasi yang memperoleh keuntungan tinggi dalam tempoh pandemik Covid-19.

Pada masa ini, cukai keuntungan luar biasa dikenakan kepada industri kelapa sawit berdasarkan nilai ambang harga pasaran minyak mentah tempatan.

Kerajaan dijangka memperoleh cukai keuntungan luar biasa sebanyak RM295 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan harga minyak sawit mentah (MSM) naik melebihi RM2,500 satu tan.

Dalam usaha untuk mempelbagaikan pendapatan negara, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa meneliti cukai sedia ada dan langkah-langkah yang perlu untuk membawa sektor ekonomi tidak formal ke dalam ekonomi arus perdana untuk menambah hasil negara.

“Kerajaan terus berusaha untuk memaksimumkan kutipan hasil cukai dan meningkatkan keapungan cukai melalui inisiatif pembaharuan cukai,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!