Cuepacs harap tiada tindakan diambil terhadap doktor kontrak

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dan pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan perundangan atau tatatertib terhadap sekumpulan pegawai perubatan kontrak yang melakukan perhimpunan pada Isnin.

Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs pada dasarnya tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kumpulan tersebut kerana khuatir boleh menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, perhimpunan tersebut tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana hanya melibatkan mereka yang sedang rehat dan bercuti sahaja.

“Berilah peluang yang sewajarnya kerana perkhidmatan mereka ketika ini amat diperlukan oleh negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19.

“Kerajaan juga perlu menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi berhubung penempatan mereka khususnya dari aspek keseluruhan sistem serta struktur bidang kesihatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, lebih 100 doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Perhimpunan berkenaan berlaku serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara itu mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Mengulas lanjut, Adnan Mat berharap pihak berkenaan memberikan tempoh masa yang jelas terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan melalui KKM.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kerajaan perlu melihat semula penempatan doktor yang bukan pada skop asal mereka kerana terdapat doktor yang bertugas di bahagian pengurusan untuk melaksanakan kerja pentadbiran dan kewangan sedangkan kepakaran mereka di bahagian perubatan serta perkhidmatan kesihatan.

“Pada masa sama, doktor-doktor muda yang sudah bergelar pakar di hospital kerajaan perlu komited berkhidmat di sektor kerajaan setelah menyambung pengajian melalui kemudahan yang disediakan.

“Kerajaan telah mengeluarkan belanja untuk membiayai yuran pengajian dan adalah tidak wajar sekiranya menjadikan sektor kerajaan sebagai transit atau batu loncatan untuk ke sektor swasta setelah bergelar pakar," katanya.

Justeru, Cuepacs berharap kerajaan dapat membuka ruang kepada doktor-doktor muda untuk melanjutkan bidang kepakaran di institusi yang diiktiraf kerajaan tanpa hanya fokus menjadi pakar jika telah berkhidmat dengan hospital kerajaan.

Adnan berkata, dasar sekarang telah menutup peluang doktor muda untuk menyambung kepakaran jika tidak berkhidmat di sektor kerajaan dan ada desakan untuk doktor muda mendapat jawatan tetap bagi tujuan sambung belajar.

“Dasar berkenaan boleh diubah sebagaimana Skim Pegawai Farmasi dan Skim Pegawai Pergigian yang membolehkan mereka sambung belajar tanpa melalui KKM.

“Hospital swasta boleh mengambil tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan bagi doktor-doktor muda menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan kepakaran mereka diperlukan oleh hospital swasta,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan kes protes doktor kontrak di HKL

Doktor kontrak mogok, tuntut dua perkara