X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Penyertaan tinggi rakyat dalam PICK bukti PPN diterima baik

Dr Chandra Muzaffar
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi pencapaian Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak harus diukur berdasarkan jumlah jangkitan kes Covid-19 harian semata-mata.

Aktivis sosial dan penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, sebaliknya prestasi PPN itu juga perlu dilihat dari aspek kadar vaksinasi negara yang tinggi selain penglibatan luas masyarakat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kebelakangan ini.

Ini kerana, katanya kes jangkitan Covid-19 yang tinggi direkodkan ketika ini tidak akan kekal dan akan dapat diatasi setelah lebih 70 peratus atau 80 peratus daripada penduduk Malaysia divaksinasi menjelang Oktober atau November depan.

“Berdasarkan pencapaian PICK setakat ini, saya optimis yang sasaran PPN berada pada landasan yang tepat dan akan berjaya mencapai sasaran seperti yang ditetapkan kerajaan.

“Pada masa sama jika segenap lapisan rakyat memainkan peranan menerusi PICK dengan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan disiplin yang tinggi, tidak mustahil masyarakat Malaysia boleh kembali kepada kehidupan normal sebelum hujung tahun ini,” katanya dalam satu wawancara khas dalam talian dengan pemberita pada Ahad.

Beliau mengakui PPN merupakan pelan yang jelas untuk negara berhadapan dengan dwikrisis iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

Menurut Chandra, PPN dicadangkan selepas beberapa bulan kerana kerajaan perlu mendapat gambaran yang lebih jelas tentang keadaan negara memandangkan Covid-19 merupakan ancaman hebat dan Malaysia memerlukan satu pelan yang boleh menangani krisis luar biasa.

Beliau berkata, PPN yang diumumkan Malaysia tidak jauh beza dengan pelan pemulihan Covid-19 kebanyakan negara yang mengandungi beberapa fasa merangkumi tiga dimensi iaitu jangkitan Covid-19, jumlah pesakit di hospital dan vaksinasi.

Katanya, PPN adalah pelan yang jelas dan jitu dan pemahaman rakyat terhadap pelan ini dapat dilihat menerusi peningkatan penyertaan dalam PICK kebelakangan ini berbanding di peringkat awal.

Menurut Chandra, antara faktor pencapaian PICK ialah sistem kesihatan Malaysia yang baik selain pengalaman kerajaan dalam mengendalikan program vaksinasi bermula dengan vaksinasi polio kepada kanak-kanak sejak 1960-an.

Mengikut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat Ahad, Malaysia merekodkan kes jangkitan Covid-19 harian tertinggi dengan 17,045 kes menjadikan kes kumulatif negara melepasi angka satu juta dengan 1,013,438 kes.

Sementara itu, rekod agihan vaksin setakat 25 Julai pula menghampiri 17 juta dengan populasi yang sudah melengkapkan dua dos vaksin mencecah 5,397,826 orang setakat ini. Berdasarkan maklumat di laman web vaksincovid.gov.my pula, sehingga kini hampir 20 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi masing-masing.

Pada masa sama, sehingga jam 11 malam Ahad (25 Julai) laman web covidvax.live yang memantau pemberian vaksin di seluruh dunia secara masa sebenar merekodkan lebih 17 juta dos vaksin sudah diberikan di Malaysia dengan kadar 52.9 dos setiap 100 penduduk.

Berdasarkan kadar ini, covidvax.live menjangkakan berkemungkinan 70 peratus daripada penduduk Malaysia akan menerima dua dos vaksin menjelang 30 September depan.

Menyentuh mengenai golongan tertentu yang mempertikai vaksinasi termasuk golongan berpelajaran, Chandra berkata, perkara itu harus ditangani dengan penjelasan berlandaskan prinsip-prinsip sains.

“Ada pihak yang mengatakan bahan terlarang, bahan haram dimasukkan dalam vaksin. Tidak betul. Segalanya telah dibuktikan melalui ujian-ujian kerana Malaysia berpegang kepada prinsip-prinsip sains. Persoalan, keraguan dan tanda tanya (tentang vaksin) ditangani secara sistematik dan saintifik,” katanya.

Beliau berkata, sokongan rakyat terhadap PPN adalah menggalakkan dan berada di landasan yang tepat dari segi sains kerana sains merupakan asas kepada falsafah negara.

“Malaysia merupakan antara negara yang memasukkan prinsip sains dalam Rukun Negara dan sokongan rakyat terhadap PPN adalah menggalakkan kerana negara mengamalkan prinsip sains selain berpegang kepada falsafah masyarakat progresif berlandaskan sains yang diamalkan sejak 1970,” katanya.

Ditanya mengenai pengurusan persepsi dalam kalangan rakyat dalam berdepan cabaran pandemik, Chandra berkata, maklumat perlu disebarkan bagi menangkis dakwaan bahawa kerajaan bertindak lambat dalam pemberian vaksin.

Keadaan itu disebabkan 'apartheid vaksin' apabila negara lebih berpengaruh mendapat tempahan vaksin lebih awal (dari Malaysia) selain terdapat negara yang menyimpan stok vaksin lebih daripada keperluan rakyatnya, katanya.

PPN diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lepas merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan secara berperingkat berpandukan tiga indikator ambang utama untuk beralih daripada satu fasa ke fasa seterusnya.

Ia membabitkan keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi dan tahap populasi dilindungi dengan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Mengulas mengenai kes jangkitan yang tinggi kebelakangan ini, Chandra berkata, ia disumbangkan oleh pelbagai varian antaranya varian Delta yang cepat merebak dan saringan Covid-19 yang dilakukan secara massa melibatkan golongan pekerja termasuk pekerja asing. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!