Tidak nasihati Agong selari pandangan Raja-raja Melayu: Pakar

Dr Muhammad Fathi Yusof
Dr Muhammad Fathi Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan proklamasi darurat baharu selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos ini, selari dengan pandangan Raja-raja Melayu.

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berpendapat, selain pandangan daripada Raja-raja Melayu yang dizahirkan selepas perjumpaan khas di Istana Negara pada 16 Jun lalu itu, ketetapan tersebut juga selari dengan desakan dibuat oleh pemimpin pembangkang sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan telah memutuskan bahawa semua Ordinan Darurat (6) yang dibuat dalam tempoh proklamasi darurat dibatalkan berkuat kuasa pada 21 Julai.

Menurutnya, pembatalan itu memberikan beberapa kesan signifikan antaranya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu diisytiharkan terbubar kerana tamat tempoh lima tahun dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ordinan tidak lagi berkuat kuasa.

"Selain itu, kerusi Parlimen dan DUN yang kosong dalam tempoh proklamasi darurat perlu diisi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari ordinan tidak lagi berkuat kuasa. Antara kerusi terlibat ialah kerusi Melor di DUN Kelantan.

"Jika darurat khusus untuk Parlimen Batu Sapi, Gerik dan kerusi Bugaya DUN Sabah juga ditamatkan, maka PRK untuk kerusi-kerusi berkenaan perlu dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, jika Perdana Menteri tidak mendapat sokongan untuk kelulusan Belanjawan 2022 atau kalah dalam apa-apa pengundian di Dewan Rakyat, maka ia boleh ditafsirkan sebagai beliau hilang kepercayaan.

"Menurut Perkara 40(3), jika tiada calon lain yang layak dilantik sebagai perdana menteri, maka Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen atas kehendak perdana menteri.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan di seluruh negara," katanya.

Selain itu, menurutnya, kadar denda tinggi bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dipinda melalui Ordinan Darurat dengan sendirinya terbatal dan kadar denda asal lebih rendah perlu berkuat kuasa.

Tambah beliau, perkembangan berlaku itu diharap tidak akan menjejaskan usaha yang sedang dilaksanakan bagi menghadapi Covid-19.

"Moga ALLAH kurniakan jalan keluar terbaik kepada kita semua dalam menghadapi dugaan besar ini," katanya.