Hishammuddin ambil alih pengumuman harian PPN, PKP bermula esok

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengambil alih pengumuman harian berkaitan Pelan Pemulihan Negara dan aktiviti penguatkuasaan serta prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bermula Selasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, Ahli Parlimen Sembrong itu akan menjalankan tugas yang sebelum ini dilaksanakan oleh beliau berkenaan Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap hari saya menerima serta mengumumkan laporan berkenaan pematuhan SOP, kawalan sempadan negara dan lain-lain perkara dari semua agensi terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berkenaan situasi semasa keselamatan dalam tempoh PKP berkenaan Covid-19 dan (PPN).

“Seperti yang semua maklum, Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) apabila saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini berkenaan dengan Covid-19.” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, kenyataan media harian tersebut merangkumi Task Force Operasi Pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 di seluruh negara.

Artikel Berkaitan: