Bimbang Covid-19 meningkat jika PRN Sarawak diadakan

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen hari ini. Foto Bernama
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persoalan berhubung keperluan Sarawak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari sekiranya proklamasi darurat ditamatkan 1 Ogos nanti adalah antara perkara dibangkitkan ahli Parlimen negeri itu pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Menyuarakan kebimbangan penularan kes Covid-19 akan berlaku apabila pilihan raya diadakan, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berkata, walaupun kadar vaksinasi di Bumi Kenyalang ketika ini berada pada tahap yang baik dan membolehkannya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), ia sama sekali tidak memberi jaminan negeri itu akan terlepas daripada berhadapan dengan peningkatan penularan Covid-19.

Beliau berkata, kekhuatiran ini timbul lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu seperti Delta yang dikesan di Miri dan Sibuti, selain mengambil pengajaran daripada PRN Sabah yang menyaksikan kes Covid-19 melonjak naik selepas pilihan raya negeri itu diadakan.

“Kita tidak ingin mengadakan PRN dalam masa terdekat, walaupun kita harus mengadakan PRN di Sarawak, kerana kita ingin mengutamakan rakyat Sarawak. Ketua menteri telah menyatakan bahawa proses vaksinasi ini untuk melindungi nyawa rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan selepas sesi penerangan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung PPN pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketika menjawab celahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang bertanya jika beliau setuju untuk darurat secara lokaliti diadakan di Sarawak bagi mengelakkan PRN diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan, Lukanisman berkata, beliau bersetuju sekiranya ia merupakan langkah bagi menyelamatkan nyawa rakyat Sarawak.

“Kita tidak sewenang-wenangnya membuka negeri kita untuk mengadakan PRN, sekiranya PRN dijalankan saya mohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai prosedur operasi standard teliti berkenaan mengadakan PRN ini.

“Sekiranya darurat secara lokaliti ataupun berpilih ini perlu dilaksanakan, saya bersetuju sekiranya darurat ini untuk menyelamatkan dan saya rasa kita belum bersedia lagi untuk mengadakan PRN dalam tempoh ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini telah memberi perkenan supaya proklamasi darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Ini menjadikan PRN Sarawak yang dijadual diadakan pada tahun ini ditangguhkan meskipun 6 Jun lepas merupakan hari terakhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan. - Bernama