DPIM Selangor cadang langkah selamatkan usahawan PKS, mikro

A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk menyelamatkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Antara cadangan berkenaan ialah memastikan semua usahawan PKSM dan pekerja mereka menerima vaksin Covid-19 secepat mungkin selain sesi penerangan secara maya berkenaan norma-norma baharu supaya mereka dapat menjalankan perniagaan dengan lebih cermat dan selamat.

Pengerusinya, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, kerajaan juga perlu mengubah pendekatan sekatan perjalanan daripada mengikut negeri kepada mukim supaya mukim yang mempunyai kes rendah diberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Kerajaan disaran memansuhkan had perjalanan 10 kilometer (km) dan ditukar kepada had sempadan mukim untuk membenarkan pelanggan dari mukim yang sama mengunjungi sesuatu perniagaan walaupun berada lebih daripada 10km dari kediaman mereka.

“Definisi ‘essential’ dan ‘non-essential’ yang dikaitkan kepada barangan dan perkhidmatan perlu disemak semula kerana makna terma tersebut mungkin berbeza mengikut perspektif masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Yahya mencadangkan penggunaan SOP yang sesuai bagi perniagaan dan perusahaan beroperasi seperti mengikut bilangan maksimum orang dalam kedai atau kawasan termasuk penjual.

Di samping itu katanya, geran RM5,000 bagi setiap pengusaha mikro, RM10,000 bagi setiap pengusaha kecil dan RM20,000 bagi setiap pengusaha sederhana melalui persatuan perdagangan dialu-alukan bagi membantu mereka membangunkan semula perniagaan.

"Peniaga terkesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu sehingga memasuki fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain peningkatan kadar pengangguran, laporan daripada Research for Social Advancement (REFSA) baru-baru ini menyebut sekurang-kurangnya 120 hotel memberhentikan operasi sama ada untuk sementara atau kekal sejak Mac 2020," katanya.

Tambah beliau, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini mengatakan kira-kira 580,000 perniagaan mewakili 49 sektor PKSM berisiko gagal menjelang Oktober ini jika mereka tidak dibenarkan beroperasi pada masa itu.

“Bayangkan PKP 1.0 dilaksanakan selama lebih enam minggu bermula 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 walaupun pada waktu itu kes baharu harian tidak melebihi 235 kes.

“Belum sempat perniagaan kami hidup semula, PKP 2.0 pula dilaksanakan selama tujuh minggu dari 13 Januari sehingga 4 Mac 2021 dan beberapa bulan kemudian PKP 3.0 pula bermula pada 1 Jun.

“Keadaan kewangan kami semasa PKP 3.0 dimulakan jauh lebih teruk daripada keadaan kewangan kami semasa PKP 1.0 bermula kerana ramai yang sudah tiada kekuatan kewangan," katanya.