11 hektar tanaman sawit haram di hutan simpan dimusnahkan

Anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu (Ops Langat) di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Tanjung Sepat pada Isnin. - Foto Bernama
Anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu (Ops Langat) di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Tanjung Sepat pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG SEPAT - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memusnahkan tanaman kelapa sawit seluas 11 hektar yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan melalui operasi bersepadu yang dilaksanakan selama empat hari bermula Isnin.

Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Norddin Noor berkata, operasi itu melibatkan seramai 50 anggota terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk memusnahkan pokok-pokok kelapa sawit ditanam secara haram itu termasuk menggunakan tiga jengkaut.

"Perancangan kita adalah setelah pokok-pokok kelapa sawit ini dimusnahkan, kita akan terus mengadakan projek tanaman semula pokok-pokok hutan," katanya kepada pemberita semasa operasi bersepadu (Op Langat) di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan pada Isnin.

Beliau berkata, penanaman sawit secara haram itu telah menjejaskan fungsi hutan paya gambut di kawasan tersebut sebagai sumber simpanan air selain menjadi satu daripada punca berlakunya kebakaran di hutan itu.

"Aktiviti penanaman sawit ini adalah antara punca berlakunya kebakaran hutan di sini dan kerajaan negeri telah menanggung kerugian kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi iaitu dari hujung 2019 hingga akhir 2020 lebih kurang RM2 juta telah dibelanjakan, manakala untuk tahun ini sahaja hampir RM600,000 (untuk memadam kebakaran)," katanya.

Norddin (kanan) mengetuai operasi memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu (Ops Langat) di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Tanjung Sepat pada Isnin. - Foto Bernama
Norddin (kanan) mengetuai operasi memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu (Ops Langat) di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Tanjung Sepat pada Isnin. - Foto Bernama

Norddin berkata, selain tanaman sawit, hutan simpan itu turut diterokai secara haram untuk jenis tanaman lain sejak berpuluh tahun dahulu namun pihaknya sukar untuk mengesan pemilik tanaman tersebut yang kebanyakannya merupakan penduduk sekitar di kawasan itu yang memasuki kawasan hutan melalui lorong-lorong tikus.

"Apabila kita buat operasi sebegini saya percaya pihak terbabit tidak akan mengeluarkan lagi modal sebab segala aktiviti di sini perlukan modal termasuk menggaji pekerja serta menyewa jentera dan ini akan memberi kesan peringatan kepada yang lain untuk tidak lagi menceroboh hutan simpan ini," katanya sambil menambah aktiviti pemantauan akan terus dilakukan pihaknya di hutan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Norddin menjelaskan, pihaknya sedia membantu petani-petani yang berminat untuk mengusahakan tanah di kawasan hutan tersebut namun perlu mengikut syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan dan jenis pokok yang dibenarkan.

"Untuk tanam pokok kelapa sawit kita memang takkan benarkan, hanya spesies tertentu yang sesuai ditanam di tanah gambut kerana kita ingin menjaga ekosistem hutan gambut ini," katanya.

Beliau berkata, mereka yang didapati meneroka hutan secara haram untuk aktivti pertanian boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 81 1(e) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu penjara hingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali. - Bernama