Bangladesh berdepan lonjakan kes demam denggi, Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DHAKA - Lonjakan kes demam denggi di Bangladesh telah menimbulkan cabaran baharu kepada pihak berkuasa di negara itu yang ketika ini turut bergelut dengan ancaman peningkatan Covid-19, lapor Agensi Anadolu memetik sumber rasmi pada Ahad.

"Denggi telah menjangkiti banyak orang sejak beberapa hari kebelakangan ini dan telah menjadi masalah baharu kepada kerajaan,” kata jurucakap Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Nazmul Islam pada taklimat media maya.

Menggesa penduduk agar mematuhi arahan kesihatan demam denggi dan Covid-19, beliau berkata, pegawai pusat dan wilayah sedang bertungkus-lumus untuk menangani situasi kompleks itu.

Menurut kemas kini terbaharu yang dikeluarkan pada Ahad, pada tahun ini terdapat 1,679 pesakit demam denggi termasuk 102 orang yang disahkan dijangkiti dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, menurutnya selepas hari raya Aidiladha virus Covid-19 telah mengorbankan 228 mangsa dan mencatat 11,291 kes baharu dalam masa 24 jam, di negara dengan populasi hampir 165 juta orang itu manakala 10,584 pesakit telah pulih.

Setakat ini, Bangladesh telah mencatat 19,274 kematian dengan lebih 1.16 juta kes dan hampir 999,000 pesakit sembuh.

Bagi membendung penularan Covid-19, Bangladesh telah melakukan sekatan pergerakan di seluruh negara sejak 23 Julai dan akan dilanjutkan sehingga 5 Ogos.

Sehingga Sabtu, Bangladesh telah memberikan hampir 11.5 juta suntikan vaksin Covid-19 termasuk dos pertama dan kedua. - Bernama

Artikel Berkaitan: