Orang Asli Semenyih harapkan jalan berturap ke pekan

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Perkampungan orang asli di Kampung Kachau Dalam di sini hanya terletak 15km dari pekan Semenyih, tetapi perjalanannya memakan masa yang agak lama berikutan satu-satunya akses laluan keluar masuk ke kampung itu merupakan jalan yang tidak berturap.

Tanpa jalan yang sempurna, ia merupakan masalah besar kepada penduduk kampung terutama dalam hal mendapatkan khidmat perubatan.

Selain itu, timbul juga kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung berkenaan yang keluarga mereka telah mendiami kawasan itu hampir 84 tahun, berkenaan status tanah petempatan mereka yang mungkin diambil alih kerana ia tidak pernah diwartakan sebagai tanah adat orang asli.

Dua masalah utama ini sejak sekian lama masih tiada penyelesaian untuk menanganinya.

Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Orang Asli Kachau Dalam Matzee Duman, 25, berkata kampung orang asli itu sudah wujud sejak 1935, namun masih banyak kesukaran yang terpaksa dilalui penduduknya.

"Kami berharap pihak berwajib boleh ambil tindakan ke atas perkara ini terutama sekali laluan masuk itu yang memerlukan turapan. Keadaan itu menyukarkan kami kerana jika laluan itu dilanda banjir ketika waktu hujan kami tidak boleh keluar bahkan menyukarkan kami mendapatkan kemudahan perubatan jika ada penduduk di sini yang sakit," katanya kepada Bernama.

Katanya satu lagi perkara berbangkit adalah mengenai status tanah perkampungan itu yang sehingga kini masih tidak terjawab statusnya yang tidak pernah diwartakan sebagai tanah adat orang Asli.

"Kami pernah ajukan perkara ini, namun tiada jawapan muktamad sama ada (tanah) kampung ini akan diwartakan (sebagai tanah adat). Kami telah menetap di sini lama dan memohon perkara itu disegerakan sejak 2005. Kami risau dan difahamkan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ingin mengambil tanah itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang suri rumah Sarimah Ikat, 22, pula mengharapkan kualiti perkhidmatan kesihatan dapat ditambah baik.

Menurutnya, antara perkhidmatan kesihatan yang ada adalah pemeriksaan oleh Klinik Kesihatan Semenyih di kampung itu, namun ia mengambil masa yang lama buat penduduk mendapatkan bantuan pemeriksaan.

"Susah juga sebab kadang-kadang dia suruh datang ke klinik tapi ia terletak sejauh tujuh kilometer dan menyukarkan kami. Jadual pemeriksaan mereka juga tidak menentu kadang-kadang sebulan sekali kadang-kadang seminggu sekali. Kalau anak sakit kena tunggu...itu yang payah buat kami. Kalau keluar masuk, keluar masuk jauh. Kalau waktu hujan anak saya boleh demam balik,” katanya.

Difahamkan, Kampung Kachau Dalam, antara 10 kampung orang asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, mempunyai hampir 200 penduduk daripada 42 keluarga. DUN Semenyih merupakan satu daripada kawasan DUN dalam Parlimen Hulu Langat, selain Dusun Tua.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata masalah membabitkan orang asli sentiasa mendapat perhatian pihaknya.

Katanya dalam isu tanah kampung orang asli itu, ia timbul apabila kerajaan negeri terdahulu, sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada 2008, telah menganugerahkan tanah berkenaan kepada Pertubuhan Peladang Negeri Selangor.

"Saya selaku Ahli Parlimen di kawasan ini sedang mencari formula penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu ini. Saya percaya dengan kerjasama erat daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pejabat tanah, satu formula dapat dicari," katanya. - Bernama