Tiada kerja selama enam tahun kerana OKU: Ras Adiba

Ras Adiba (kiri) ketika bercakap pada program MUM yang dimoderatorkan oleh Abby dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Ras Adiba (kiri) ketika bercakap pada program MUM yang dimoderatorkan oleh Abby dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkongsi pengalaman pahitnya yang terpaksa bertahan hidup selama enam tahun tanpa sebarang pekerjaan selepas mula menjadi orang kurang upaya (OKU).

Presiden OKU Sentral itu berkata, beliau tetap berhadapan dengan diskriminasi dan stigma negatif yang lazimnya dikenakan terhadap kumpulan tersebut meskipun memiliki merit dan pengalaman yang panjang sebagai personaliti televisyen.

“Selama enam tahun saya tidak diberi peluang untuk membuat apa yang dilakukan sejak berumur 18 tahun ketika bersama stesen televisyen.

“Cuba mencari kerja di sana sini. Saya lalui diskriminasi dan stigma oleh pihak yang tidak mahu mengambil seseorang OKU walaupun kita mempunyai pengalaman,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Mak Untuk Malaysia (MUM) yang dihoskan oleh Abby Fana pada Isnin.

Ras Adiba disahkan lumpuh separuh badan pada 2002 akibat kecederaan tulang belakang dalam satu kemalangan jalan raya pada 1996.

Bercerita lanjut, beliau berkata, meskipun beberapa kenalan terdekat termasuk ahli keluarganya cuba memberikan sokongan ketika itu namun situasi yang dihadapinya ketika agak sukar difahami mereka kerana merupakan situasi baharu dalam mereka.

Ras Adiba berkata, tanpa sebarang pekerjaan, antara kesukaran yang dihadapi dalam tempoh tersebut termasuk terpaksa makan nasi berlaukkan garam.

Mengulas mengenai inspirasi yang membuatnya tekad berhadapan dengan cabaran yang dihadapinya itu, beliau berkata, selain bergantung kepada ALLAH, kepercayaan terhadap kekuatan diri juga merupakan pendorong utamanya.

Artikel Berkaitan:

“Ramai yang bertanya siapa yang memberikan inspirasi kepada saya. Saya kata senang, ia diri saya sendiri.

“Hanya anda yang memahami dan menghargai diri anda. Hanya kita yang tahu apa yang kita nak. Hanya diri kita sahaja yang boleh hargai keadaan sukar atau senang,” ujarnya.

Ras Adiba yang juga wakil OKU di Dewan Negara berkata, antara isu utama berkaitan kumpulan istimewa tersebut yang mahu diperjuangkan ialah berkenaan intervensi pendidikan awal kanak-kanak OKU.

Beliau berkata, ibu bapa yang memiliki anak OKU memberi peluang kepada anak mereka untuk mendapatkan pendidikan awal yang sepatutnya.

“Ramai ibu bapa yang ragu untuk tidak mendaftarkan anak mereka di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Saya rasa ini sesuatu yang tidak adil bagi anak-anak OKU.

“Apabila ibu bapa itu tidak ada lagi, apa akan berlaku kepada anak ini. Justeru kita mesti pastikan peluang untuk belajar berdikari,” jelasnya.

Selain itu, turut menjadi perhatiannya untuk diketengahkan ialah mengenai peluang pendidikan pekerjaan bagi kumpulan OKU.

“Sekarang ini, kalau orang biasa pun sukar mencari pekerjaan tetapi untuk kumpulan OKU ini adalah 500 kali ganda lebih sukar,” katanya.