Takut mati di tali gantung, wanita tertipu RM500,000

No Image Caption
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang peniaga air kacang soya nyaris kerugian hampir RM500,00 selepas diperdaya sindiket Macau Scam sejak Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, wanita berusia 53 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai sarjan Azhari kononnya daripada Ibu Pejabat Polis Seremban.

Menurutnya, sarjan berkenaan kemudiannya menyambungkan talian kepada seorang pegawai dan telah memaklumkan kepada wanita terbabit mengenai penglibatan namanya yang telah disalahgunakan oleh individu lain selain mempunyai dua kes tunggakan dengan bank.

"Lelaki memperkenalkan diri sebagai Lee Ahh Jun itu mendakwa wanita terbabit berdepan kes jenayah yang boleh disabitkan kesalahan gantung sekiranya didapati bersalah.

"Lelaki itu kemudiannya menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah ini dan meminta pengadu membuat bayaran untuk membersihkan rekod,"katanya ketika dihubungi di sini.

Anbalagan berkata, akibat panik dan terpedaya dengan helah itu, mangsa telah menuruti segala arahan lelaki berkenaan.

Difahamkan mangsa mengeluarkan wang daripada unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM476,000 dan memasukan ke dalam beberapa akaun yang diberikan sejak 31 Januari lalu .

Katanya, selepas menyedari dia diperdaya oleh sindiket berkenaan, mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun banyak kes penipuan seperti ini telah dilaporan, namun masih ramai orang terpedaya dengan sindiket Macau Scam," katanya.