Peter marah Naib Canselor UMS kerana gagal dapat kontrak: Saksi

Dr Harun (dua dari kanan) hadir sebagai saksi ke-10 kes menggunakan dokumen palsu membabitkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bersama barisan saksi lain pada Isnin.
Dr Harun (dua dari kanan) hadir sebagai saksi ke-10 kes menggunakan dokumen palsu membabitkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bersama barisan saksi lain pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Harun Abdullah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, bahawa Datuk Peter Anthony pernah memarahinya berhubung kontrak Sistem Mekanikal dan Elekrikal (M&E) Fasa 2B.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Harun berkata, bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu bertindak sedemikian kerana Peter selaku Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd gagal mendapatkan kontrak tersebut.

Dalam prosiding yang memasuki hari kesembilan, Harun, 60, berkata, keputusan untuk memberi kontrak melalui tender terbuka, sebenarnya diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMS.

“Saya mengesahkan kontrak M&E tidak diberi kepada Syarikat Asli Jati Engineering kerana ia telah diberi kepada Syarikat REMT Utama Sdn Bhd.

“Tiada sebarang kerugian pada pihak UMS di atas perkara tersebut,” katanya, ketika membaca pernyataan saksi.

Harun yang juga saksi ke-10 turut dirujuk dengan dokumen bertajuk ‘Kerja-kerja Operasi dan Penyelenggaraan Bagi Sistem Mekanikal dan Infra Di Kampus Induk (FPL/ Pusat Rawatan Warga Luar Sikuati, Kudat) dan Bangunan Lain, UMS – Selama Lima Tahun Secara Rundingan Terus’ bertarikh 11 Julai 2014.

Bagaimanapun, Harun menafikan pernah mengeluarkan atau menurunkan tandatangan pada surat berkenaan.

Menerusi surat itu, beliau berkata, ia ditandatangani bagi pihaknya dengan menggunakan kepala surat Naib Canselor atas namanya sendiri selaku Naib Canselor UMS.

Artikel Berkaitan:

“Surat itu menyatakan pihak UMS menyokong penuh permohonan Syarikat Asli Jati Engineering untuk melaksanakan kerja-kerja tender yang mana dokumen itu diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (yang juga Menteri Kewangan) untuk kelulusan.

“Saya sahkan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang mengeluarkan dan menandatangani surat itu tanpa pengetahuan saya dan saya menafikan sebarang sokongan daripada pihak saya kepada Syarikat Asli Jati Engineering,” katanya.

Harun berkata, beliau tidak memberi sebarang sokongan kepada Syarikat Asli Jati Engineering sebagaimana kandungan surat tersebut kerana ia bertentangan dengan keputusan Mesyuarat LPU yang bersidang pada 16 Januari 2014.

Beliau turut mengesahkan, rujukan surat berkenaan tidak wujud dan tiada rekod atau didaftarkan dalam fail UMS.

Peter (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin bagi kes menggunakan dokumen palsu, tujuh tahun lalu.
Peter (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin bagi kes menggunakan dokumen palsu, tujuh tahun lalu.

Bagaimanapaun, pada 9 September 2014, beliau terkejut selepas menerima surat di Pejabat Naib Canselor yang menyatakan Kementerian Kewangan meluluskan permohonan UMS untuk tender berkenaan, secara rundingan terus kepada Syarikat Asli Jati Engineering dan Ulink Property Sdn Bhd (smart partnership) bagi tempoh tiga tahun.

“Sedangkan, UMS telah melantik Syarikat REMT Utama dan menandatangani perjanjian kontrak bagi projek itu,” katanya, sambil menambah susulan kejadian itu, beliau meminta seorang Pegawai Undang-Undang UMS untuk menghubungi pihak Kementerian Kewangan Malaysia bagi mendapatkan penjelasan.

Sejurus prosiding, peguam, Datuk D Senthinathan mewakili Peter, memohon sesi soal balas terhadap saksi, dikendalikan oleh rakan peguamnya, Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin.

Bagaimanapun, beliau berkata, Munawar dilaporkan mempunyai masalah kesihatan dan kini sedang bercuti sakit sehingga 2 Ogos depan, namun Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu, dengan berpendapat bahawa pasukan pembelaan cuba melengah-lengahkan perbicaraan kes.

Katanya, sudah beberapa kali kes ditangguhkan atas pelbagai alasan sejak Peter didakwa Julai tahun lalu.

“Kami kecewa dan tidak boleh bertolak ansur lagi kerana kes ini melibatkan beberapa saksi berstatus warga emas malah dalam suasana pandemik ketika ini, mengundang risiko kepada mereka yang perlu melalui perjalanan jauh dari Sabah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura kemudian menolak permohonan penangguhan dan mengarahkan prosiding diteruskan seperti mana tarikh yang ditetapkan mahkamah sebelum ini.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan berjalan pada 27 Julai, 23 dan 27 Ogos, 29 dan 30 September, 28 dan 29 Oktober serta 15 dan 16 November depan.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa melakukan sesuatu pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.