Warga Indonesia diberkas terlibat sindiket penipuan pinjaman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu termasuk seorang warga Indonesia diberkas dipercayai terlibat dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud melibatkan seorang individu yang mengalami kerugian RM34,959.17 pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Mahidisham Ishak berkata, ketiga-tiga suspek itu diberkas dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju bersama-sama Bahagian Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

"Ketiga-tiga suspek berumur 30, 34 dan 36 tahun itu diberkas di sebuah unit kondominum di Jalan Sultan Ismail.

"Turut dirampas 10 unit telefon bimbit, router, modem dan buku nota yang disyaki digunakan bagi tujuan penipuan. Malah sindiket ini juga sentiasa berpindah lokasi selain menukar pekerja mereka," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek baharu bekerja dengan sindiket terbabit selama sebulan.

Katanya, sindiket terbabit akan membuat tawaran pinjaman dengan menggunakan media sosial dan selepas bersetuju, mangsa diminta untuk membayar deposit, insuran, wang proses serta bayaran kepada beberapa akaun.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa gagal berhubung dengan sindiket terbabit. Kes ini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," jelasnya.

Sebelum itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur telah menerima satu laporan polis berkenaan kes penipuan pinjaman tidak wujud dan mangsa telah mengalami kerugian RM34,959.17 selepas terpedaya dengan tawaran iklan pinjaman di media sosial.

Artikel Berkaitan: