X

Kindly register in order to view this article
!

'Jangan hanya sokong bila kami berjaya'

Nur Dhabitah Sabri. - Foto Bernama
A
A

“IA tiada faedah dan tidak sihat,” itu reaksi penerjun wanita Nur Dhabitah Sabri mengenai komen-komen negatif yang dilemparkan secara dalam talian terhadap atlet negara yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penerjun berusia 22 tahun dalam misi memburu pingat Olimpik pertamanya itu berkata atlet negara turut memerlukan sokongan dalam tempoh sukar terutama apabila tidak berjaya dalam perjalanan mereka mencipta kejayaan.

Mengimbau kembali persiapannya menghadapi temasya sukan berprestij itu dalam ketidaktentuan pandemik Covid-19, beliau berkata, banyak pengorbanan perlu dilakukan terutama apabila terpaksa 'dikurung' dalam gelembung sukan agar terhindar daripada wabak berbahaya.

"Mereka fikir kita (atlet) tidak mahu buat elok-elok sedangkan mereka tidak tahu bahawa kita telah berlatih bermati-matian untuk menyertai Sukan Olimpik ini, namun mereka (kritik) berdasarkan apa dilihat dalam masa singkat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Reaksi Nur Dhabitah itu dizahirkan sehari selepas Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei melahirkan rasa sedih terhadap komen-komen negatif dalam talian terhadap pemain badminton negara selepas kekalahan dalam perlawanan mereka di Tokyo.

Antaranya gandingan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang gagal layak ke suku akhir acara beregu campuran selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Kumpulan D di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo pada Isnin.

"Saya amat menghormati beliau (Chong Wei) kerana berdiri di belakang kami," tambah pemenang pingat perak dan dua gangsa Sukan Asia 2018, masing-masing dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama, 3m papan anjal individu dan 10m platform seirama.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur yang juga pemenang pingat emas Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 itu berharap rakyat Malaysia khususnya peminat sukan tanah air dapat menyokong kontinjen negara di saat suka dan duka, kerana itu bentuk sokongan yang diperlukan atlet.

Sementara itu, Nur Dhabitah kini perlu lebih berwaspada terhadap serangan migrain selepas beliau diserang sakit kepala di Tokyo sehingga terpaksa berehat sehari daripada menjalani latihan baru-baru ini.

Beliau turut menafikan laporan sebuah stesen televisyen swasta yang mendakwa beliau tidak menjalani latihan selama dua hari sambil menjelaskan bahawa beliau tidak menjalani latihan pada sesi yang sama bersama tiga lagi penerjun negara iaitu Leong Mun Yee, Pandelela Rinong dan Wendy Ng Yan Yee.

Nur Dhabitah turut tidak menolak kemungkinan serangan migrain itu berpunca daripada cuaca panas di Tokyo.

"Daripada hari pertama sehingga hari ini, latihan berjalan dengan baik, saya cuma saya tidak berlatih selama dua hari. Mereka (media) tidak mendapatkan fakta yang tepat. Saya berlatih pada sebelah pagi, waktu latihan saya berbeza daripada penerjun lain, sebab itu mereka kata saya tidak berlatih dua hari," jelasnya.

Nur Dhabitah akan memulakan cabaran di Sukan Olimpik Tokyo, yang bakal menjadi penampilan keduanya di pentas Olimpik, dalam acara 3m papan anjal individu wanita yang turut disertai seorang lagi penerjun negara Yan Yee di Pusat Akuatik Tokyo, Jumaat ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!