Vaksinasi penduduk Medan Klebang Restu, Bandar Pulai Jaya dijadual semula

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Tarikh janji temu vaksinasi Covid-19 penduduk di kawasan Medan Klebang Restu dan Bandar Pulai Jaya di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin akan dijadualkan semula dan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dalam kenyataan berkata, penduduk yang menerima janji temu sebagai penerima vaksin dalam tempoh PKPD diminta untuk memberi maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat dan tarikh janji temu kepada pihaknya melalui talian hotline.

“Penduduk yang mempunyai janji temu pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital boleh merujuk terus ke Klinik Statik Pegawai Kesihatan Daerah,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, klinik statik bagi kawasan PKPD di Medan Klebang Restu terletak di dewan bersebelahan Masjid Jamek Medan Klebang Restu, manakala di Bandar Pulai Jaya terletak di tempat letak kereta terbuka berhadapan pintu masuk kilang Unisem dan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Kenyataan itu turut menyebut, semua urusan berkaitan pemotongan gelang kuarantin, rawatan demam, batuk, selesema, ibu mengandung, mengambil ubat, cucuk anak kecil dan community swabbing juga hendaklah dirujuk terus ke klinik statik berkenaan.

Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan mengumumkan PKPD di dua kawasan berkenaan mulai Isnin hingga hingga 8 Ogos bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pada Ahad, sebanyak 609 kes baharu yang dilaporkan di negeri ini yang 597 kes adalah jangkitan tempatan dan 12 kes adalah jangkitan dari luar Perak.

Sementara itu, PKOB Pejabat Daerah dan Tanah Kinta turut meminta orang ramai menggunakan pautan aplikasi peta sempadan bagi mengenal pasti lokasi sebenar dikenakan PKPD sebagai rujukan.

Artikel Berkaitan:

Peta sempadan PKPD Medan Klebang Restu boleh didapati pada pautan https://qgiscloud.com/organisasicovid2/PKPD_Medan_Klebang_Restu/ manakala PKPD Bandar Pulai Jaya di pautan https://qgiscloud.com/organisasicovid2/PKPD_Bandar_Pulai_Jaya/.

Pautan peta sempadan itu merupakan hasil kerjasama pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dalam membekalkan data asas serta PerakGIS dalam menyediakan Pelan PKPD bagi Medan Klebang Restu dan Bandar Pulai Jaya. - Bernama