Gelandangan: Di mana penyelesaian

Gambar hiasan: Foto - YouTube
Gambar hiasan: Foto - YouTube
A
A
A

PROGRAM Jelajah Rahmah yang hendak dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) patutnya sudah lama dilakukan. Lebih awal dilaksanakan lebih ramai boleh menerima bantuan dan lebih ramai yang terlepas daripada mengalami kesengsaraan akibat gelandangan ini.

Lagi cepat masalah gelandangan dikenal pasti lagi cepat kerajaan dan pihak berkuasa memahami masalah mereka yang terlibat dan lebih cepat keluarkan mereka daripada lingkaran kemiskinan dan kesempitan hidup.

Apa pun seperti yang selalu kita dengar, lebih baik lambat daripada tidak buat langsung.

Alhamdulillah, tiga hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengumumkan program Jelajah Rahmah akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun ini.

Malah, pada masa pengumuman itu dibuat, beliau telah merasmikan program Jelajah Rahmah yang pertama di Anjung Singgah di Kuala Lumpur pada sebelah malam Ahad lalu.

Perasmian itu didahului dengan Mujahid bersama sukarelawan daripada Yayasan Kebajikan Negara dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengagih-agihkan makanan kepada gelandangan.

Perlu disebut, tujuan Jelajah Rahmah adalah untuk “menyantuni dan membantu” komuniti gelandangan dan golongan yang terjebak dengan gejala sosial. Program tersebut akan menarik penyertaan masjid, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Mujahid, selain daripada memberikan makanan, gelandangan juga akan diberi pengisian rohani dan khidmat kaunseling dengan harapan mereka mampu berdikari dan masuk ke arus kehidupan normal seperti rakyat lain.

Artikel Berkaitan:

Kita jangan marah kalau kerajaan seolah-olah baru bergerak melaksanakan program untuk gelandangan ini. Kerajaan ini pun baru sembilan bulan mengambil alih dan banyak yang perlu dibuat. Yang dijanjikan pun masih banyak belum sempat ditunaikan dan barangkali ada yang tidak mampu ditunaikan.

Oleh itu sebagai masyarakat yang cintakan negara, kita patut sokong dan bantu rancangan yang baik demi rakyat dan negara. Menangani masalah gelandangan adalah antara isu yang perlu kita beri tumpuan dan keutamaan.

Walaupun ia bukan fenomena baharu dan berlaku sejak dahulu lagi, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia, malah di negara-negara maju, gelandangan menjadi masalah sosial yang bertambah kritikal akhir-akhir ini.

Dari semasa ke semasa, bilangan mereka yang hidup berbumbungkan jambatan dan bangunan-bangunan di bandar. Kewujudan mereka akibat pelbagai faktor - kesempitan hidup, kemiskinan bandar, konflik keluarga, gejala sosial, gangguan mental, malas berusaha dan macam-macam kemungkinan lagi.

Apa pun, pihak berkuasa perlu mencari jalan bagi membantu mereka. Pihak pemberi zakat juga diharapkan sudah meneliti kedudukan mereka, iaitu di bawah kategori asnaf yang mana mereka boleh dibantu.

Apakah mereka di bawah asnaf fakir, miskin, atau ibn sabil kerana tiada kediaman tetap dan hidup di jalanan dengan bekalan makanan yang tidak menentu atau asnaf al-riqab kerana dibelenggu pemikiran negatif dan memilih kehidupan kotor dan serba kekurangan.

Antara inisiatif kerajaan yang lalu adalah Anjung Singgah di bawah Jabatan Kebajikan, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di bawah sosial Kementerian Wilayah Persekutuan, yang bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Malaysian Resources Corporation Bhd serta sebahagian badan bukan kerajaan seperti Pertiwi Soup Kitchen.

Inisiatif dalam pengendalian perkara ini, iaitu Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang dibina awal 2016 dilihat berjaya membantu ratusan masyarakat gelandangan untuk kembali ke landasan kehidupan biasa.

Bertindak sebagai pusat sehenti yang boleh menempatkan 184 orang pada suatu masa. Ia bersifat sementara sebelum mereka dipindahkan ke pusat bersesuaian.

Sementara kerajaan, NGO, syarikat, restoran dan pembuat roti dan cek terus mengambil inisiatif menyediakan bantuan, kediaman transit, makanan dan kursus penerangan dan motivasi, masyarakat umum perlu turut membantu sekadar yang mampu.

Kita boleh sahaja ketepikan sebahagian pendapatan dan simpanan untuk menyumbang ke arah membantu mereka yang bergelandangan. Kurangkan sesi pelancongan yang berulang-ulang setiap kali bercuti, apa lagi ke luar negara dan sumbangkan sebahagiannya untuk peruntukan bantuan mereka yang memerlukan, termasuk golongan bergelandangan, moga mereka dapat dikeluarkan dari kesempitan hidup dan menikmati kehidupan yang sedikit selesa walaupun isu gelandangan tidak nampak akan menemui penghujung dan penyelesaian selagi mereka yang kesempitan hidup masih wujud.

Bagaimanapun, sumbangan kita sedikit sebanyak memberi ruang kehidupan lebih baik kepada mereka.

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara