X

Kindly register in order to view this article
!

PPIK gesa tindakan tegas terhadap individu potong gelang ‘pink’

Jaafar Ibrahim, 78, (tiga dari kanan) menerima sumbangan bakul makanan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani.
A
A

BACHOK - Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang memotong gelang ‘pink’ ketika tempoh kuarantin Covid-19.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, perkara perlu diberi perhatian bagi menggelakkan kesalahan dilakukan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, pihaknya menerima tiga aduan awam setakat Ahad berkaitan dakwaan individu memotong sendiri gelang ‘pink’ yang dipakaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalani kuarantin di rumah kerana dipercayai positif Covid-19.

“Aduan diterima minggu lalu itu membabitkan pasangan suami isteri yang berniaga di Pasar Jelawat, Bachok dan seorang orang awam di lokasi sama.

“Kita tidak mahu perkara sebegini dipandang ringan kerana mampu menyebabkan pandemik Covid-19 berjangkit kepada lebih ramai orang lain,” katanya kepada pemberita di Kompleks Pendaratan Ikan Pengkalan Petah, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Mohd Saripundin Isahak dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan bakul makanan kolaboratif antara JKR, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada 105 nelayan yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) Covid-19.

Mohd Fared turut mencadangkan denda dikenakan kepada individu yang memotong gelang ‘pink’ seperti mana kompaun dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Tidak pakai penutup muka boleh dikenakan denda RM1,500, tidak patuh waktu berniaga boleh didenda sehingga RM10,000 atau RM15,000.

“Mereka yang potong gelang ‘pink’ ini juga hendaklah dikenakan kompaun yang sama kerana membahayakan nyawa orang lain akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan, Jaafar Ibrahim, 78, menzahirkan rasa bersyukur dengan sumbangan makanan diterimanya dalam tempoh PKP 3.0.

“Ini pertama kali nelayan di kawasan ini menerima bantuan makanan dalam tempoh PKP.

“Bantuan ini dapat meringakan beban kami yang turut sama terjejas pendapatan pada waktu pandemik ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!