Batal Ordinan Darurat awal taktik kerajaan elak bahas, undi: UMNO

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin politik pembangkang mendakwa tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan enam Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (2021) lebih awal daripada tarikh penamatan Proklamasi Darurat pada 1 Ogos depan adalah sebahagian taktik bagi mengelakkan proses bahas dan undi bagi meluluskannya di Parlimen.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, pihaknya turut mempersoalkan kesahihan sistem undang-undang diguna pakai kerajaan PN ketika ini susulan enam Ordinan Darurat berkenaan telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Jelas beliau, UMNO turut meminta penjelasan mengapa kerajaan PN gagal mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat berkenaan kepada umum, sedangkan keputusan itu merupakan perkara besar kerana membabitkan pengoperasian sistem undang-undang kerajaan.

Isham Jalil
Isham Jalil

"Dalam perbahasan tadi kita mendengar bahawa Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang Ordinan Darurat mesti dibentang kepada Parlimen, melainkan ia dibatalkan lebih awal.

"Adakah mengelak prosedur perbahasan ini menjadi sebab pembatalan dibuat awal? Sedangkan semalam kenyataan rasmi UMNO jelas mahu membahas dan membatalkan Ordinan Darurat.

"Selain itu, selama lima hari rakyat tidak diberitahu undang-undang dan sistem apa yang beroperasi dalam negara. Bagaimana kesahihan segala tindakan selama lima hari ini baik kompaun, denda dan lain-lain perihal pentadbiran negara yang berlandaskan andaian bahawa undang-undang darurat masih terpakai?" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Darurat ditamatkan 1 Ogos

Pada Isnin, kerajaan PN memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sejumlah enam Ordinan Darurat dibuat sebelum ini berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan juga telah dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Sementara itu, Shahril Sufian turut menggesa kerajaan PN mengemukakan satu penjelasan tuntas dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan rakyat berhubung status sebenar proklamasi darurat ketika ini.

"Dalam Dewan Rakyat tadi pun, masih wujud kekeliruan apakah status darurat. Adakah proklamasi kekal sehingga 1 Ogos tetapi ordinannya sahaja yang batal? Bilakah keputusan pembatalan ini dibuat? Adakah telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong?

"Di sebalik semua kekeliruan ini, satu perkara jelas adalah apabila kerajaan PN didesak berkali-kali oleh pelbagai pihak termasuk UMNO untuk melaksanakan beberapa keputusan besar termasuk pelaksanaan sidang Parlimen, barulah sesuatu tindakan diambil dan seakan tergesa-gesa," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berpandangan tindakan pembatalan enam Ordinan Darurat lebih awal daripada tarikh tamat proklamasi disebabkan kerajaan takut untuk melaksanakan tatacara bahas dan undi bagi meluluskannya di Parlimen sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pada hemat saya, kerajaan batal Ordinan Darurat sebab mereka tahu ia tidak akan dapat dilanjutkan lagi susulan Yang di-Pertuan Agong dan rata-rata rakyat tidak akan setuju.

"Dan juga kerana mereka (kerajaan) takut untuk bahas dan undi untuk meluluskan Ordinan Darurat ini di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Sebab jika mereka bahas dan undi usul ini, besar kemungkinan mereka akan kalah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu letak jawatan," katanya.

Bagaimanapun, Isham menegaskan meskipun Ordinan Darurat telah dibatalkan, kerajaan masih perlu melaksanakan proses bentang dan undi untuk kelulusan secara retrospektif.

"Perkara Ini penting bagi tujuan akauntabiliti dan semak imbang tentang keberkesanan dan ketelusan perlaksanaan ordinan ini sepanjang tempoh darurat yang lepas dan supaya jika ada apa-apa elemen salah guna kuasa semasa tempoh darurat ia tidak terlepas begitu sahaja," katanya.