Darurat: Pengumuman kerajaan undang persoalan

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM – Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meneruskan Proklamasi Darurat dan semua ordinan darurat dibuat sebelum ini dibatalkan mengundang persoalan, kekeliruan dan kecurigaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menyenaraikan lima persoalan yang perlu diperjelaskan segera kerana boleh memberi kesan besar terhadap kebajikan rakyat dan sistem pentadbiran negara.

“Pertama, tindakan kerajaan yang dilihat tergesa-gesa mengumumkan pembatalan ordinan-ordinan darurat seolah-olah mengesahkan pendirian UMNO bahawa ordinan-ordinan ini mesti dibahas dan ditentukan keabsahan dalam Parlimen sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 150 (3).

“Kedua, tindakan kerajaan yang tidak mengumumkan pembatalan melalui pewartaan yang jelas lebih awal mencetuskan tanda tanya apakah benar Yang di-Pertuan Agong telah perkenankan pembatalan tersebut kerana hanya Seri Paduka Baginda sahaja yang mempunyai kuasa meluluskan dan membatalkan ordinan-ordinan tersebut,” katanya menerusi tulisan di Facebooknya pada Isnin.

Kerajaan dilaporkan memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin dilaporkan berkata, enam ordinan darurat yang telah dibuat sebelum ini berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan juga telah dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Asyraf dalam masa yang sama turut melontarkan persoalan ketiga mengenai status kompaun dan denda yang dikenakan ke atas rakyat setelah ordinan-ordinan darurat dibatalkan.

“Keempat, apakah status segala operasi pentadbiran, perbelanjaan dan penggunaan wang kerajaan tanpa mengikut bajet sejak 21 Julai 2021 lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kelima, dengan pembatalan ordinan-ordinan darurat ini, apakah implikasi ke atas status kerajaan hari ini lantaran Parlimen yang dibiarkan tidak bersidang selama enam bulan sebagaimana Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan, sedangkan sebelum ini Peguam Negara menjadikan alasan kewujudan Ordinan Darurat yang mengatasi Perlembagaan sepanjang tempoh darurat,” soalnya.

Beliau berkata, pengumuman kerajaan ini telah memperakui bahawa Proklamasi Darurat dalah dasar yang gagal dan sia-sia.

“Kerana ternyata lebih memudaratkan rakyat dan negara termasuklah implikasinya kepada kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk pelaksanan kompaun-kompaun yang melampau dan bersifat dwi-standard,” katanya.

Bagaimanapun, Asyraf menyambut baik pembatalan ordinan-ordinan darurat ini yang seiring dengan pendirian UMNO sebelum ini.

“UMNO tidak pernah bersetuju bahkan menentang Proklamasi Darurat ini sejak dari awal sebagaimana keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 29 Oktober 2020, 25 April 2021, 16 Jun 2021 dan yang terbaharu 7 Julai 2021,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Darurat ditamatkan 1 Ogos