Batal Ordinan Darurat sebelum 1 Ogos langgar Perlembagaan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pembatalan enam Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu sebenarnya bercanggah dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain menjelaskan, percanggahan itu berlaku susulan kerajaan PN bertindak membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan lebih awal daripada tarikh penamatan Proklamasi Darurat itu sendiri iaitu 1 Ogos hadapan.

Sebelum ini, kerajaan PN mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha menbendung penularan pandemik Covid-19.

Jelas Wan Ahmad Fauzi lagi, suatu proklamasi darurat dan pembatalan Ordinan Darurat hanya boleh dibatalkan selepas terlebih dahulu dibentangkan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, tafsiran pembentangan di sini tidak termasuk usul perbahasan, cukup apabila proklamasi darurat dan ordinan dimasukkan ke dalam agenda mesyuarat sidang Parlimen dan diletakkan di atas meja ahli-ahli Parlimen. Maka tidak perlu dibahaskan.

"Pembatalan proklamasi dan Ordinan Darurat selepas sempurna syarat pembentangan pula boleh berlaku dalam dua keadaan, pertama apabila dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau diusulkan sama ada oleh ahli Parlimen blok kerajaan atau blok pembangkang.

"Maka ia akan terbatal melalui resolusi majlis Parlimen iaitu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan berkuat kuasa pada tarikh ditetapkan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, kerajaan PN memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.

Merujuk persoalan itu, Wan Ahmad Fauzi turut menegaskan proses pembatalan Ordinan Darurat di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan oleh Parlimen memerlukan majlis Parlimen untuk memaklumkan sahaja perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Pemakluman resolusi majlis Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong pula lebih bersifat suatu permakluman dan bukan syarat keabsahan sesuatu pembatalan ordinan-ordinan darurat berkenaan," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad Fauzi mengakui masih terdapat beberapa isu yang perlu dijelaskan kerajaan PN iaitu kenyataan Parlimen menyebut agenda pembentangan Ordinan Darurat tidak diteruskan kerana ia terlebih dahulu dibatalkan Jemaah Menteri.

"Isu pertama adalah Jemaah Menteri tiada kuasa untuk membatalkan Ordinan Darurat kerana penggubalan ordinan itu di bawah kuasa perundangan dan dalam kes ordinan darurat adalah di bawah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

"Kedua, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk membatalkannya selepas ordinan itu dibentangkan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Ketiga, prosedur yang di bawah Perkara 150 (3) perlu dipatuhi. Justeru ordinan darurat itu masih sah sehinggalah dibatalkan mengikut kaedah-kaedahnya," katanya.

Sementara itu, peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mendakwa proses pembatalan enam ordinan darurat oleh kerajaan PN adalah salah dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menganggap kerajaan PN berhadapan krisis Perlembagaan susulan peruntukan Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang memberi kuasa pentadbiran kepada kerajaan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat, secara automatik terbatal sejak 21 Julai lalu.

"Kalau Ordinan Darurat sudah terbatal sejak 21 Julai lalu atas pilihan kerajaan sendiri, maka Seksyen 11 Ordinan Darurat juga sudah terbatal. Oleh itu, tidak ada sebarang kuasa diletakkan di tangan kerajaan PN sejak 21 Julai lalu sehingga semasa darurat sehingga 1 Ogos hadapan apabila proklamasi darurat terbatal.

"Justeru, bagaimana kerajaan hendak menjawab krisis Perlembagaan dan persoalan tadbir urus negara yang berlaku sejak 21 Julai lalu? Perkara ini tidak boleh dipandang enteng dan kalau benar Ordinan Darurat terbatal, maka negara kita tidak memiliki kuasa eksekutif di tangan sesiapa pun sehingga 1 Ogos dan wajar dikembalikan pada tangan Yang di-Pertuan Agong," katanya.