Lebih 30 doktor kontrak HTAR tuntut janji kerajaan

Lebih 30 doktor kontrak melakukan protes secara aman di hadapan Kompleks Rawatan Ibu dan Anak HTAR Klang bagi menuntut kerajaan menunaikan janji berhubung status perkhidmatan mereka.
Lebih 30 doktor kontrak melakukan protes secara aman di hadapan Kompleks Rawatan Ibu dan Anak HTAR Klang bagi menuntut kerajaan menunaikan janji berhubung status perkhidmatan mereka.
A
A
A

KLANG - Lebih 30 doktor kontrak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, di sini menuntut kerajaan menunaikan janji berhubung status perkhidmatan mereka dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kumpulan doktor terbabit mula berarak secara aman dari Kompleks Rawatan Ibu dan Anak HTAR Klang ke dataran lapang di hadapan bangunan tersebut.

Mereka turut memegang plakad dengan tulisan yang meminta kerajaan memberikan jawatan tetap selain tidak bersetuju dengan lanjutan tempoh kontrak yang diumumkan.

Jurucakap gerakan tersebut yang dikenali sebagai Dr Siti Hawa berkata, beliau pernah mendengar dakwaan bahawa doktor kontrak akan ditawarkan kontrak perkhidmatan selama empat tahun sebelum ini.

Siti Hawa ketika sidang akhbar di hadapan Kompleks Rawatan Ibu dan Anak HTAR Klang pada Isnin.
Siti Hawa ketika sidang akhbar di hadapan Kompleks Rawatan Ibu dan Anak HTAR Klang pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau mendakwa itu hanya cakap-cakap kosong tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, penawaran tempoh kontrak buat masa sekarang iaitu selama dua tahun akan mengganggu perancangan masa depan doktor kontrak untuk menyambung pelajaran dalam bidang pengkhususan mereka.

“Walaupun tempoh kontrak telah dilanjutkan kepada empat tahun tetapi sebenarnya ia tidak mencukupi untuk kami menyambung pengajian dalam bidang pengkhususan kami.

Artikel Berkaitan:

“Pelajar dalam bidang perubatan memang mengambil masa yang lama untuk menyambung pelajaran sama ada doktor tetap atau kontrak.

“Sebab itu kami berharap kerajaan dapat membantu dengan memberikan status tetap kepada kami,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Siti Hawa berkata, mereka mendapat sokongan daripada rakan lain untuk mengadakan mogok itu walaupun pernah diberi amaran oleh segelintir pihak yang mengugut supaya tidak meneruskan tindakan berkenaan.

Ujarnya, perhimpunan itu diadakan secara aman tanpa unsur kekerasan dan tidak mengganggu tugas hakiki mereka sepanjang ia berlangsung.

“Andai kata pihak hospital tidak mengizinkan kami berkumpul begini, ia hanyalah perhimpunan yang dibuat secara aman, bukan rusuhan.

“Kami juga telah menyerahkan kes pesakit kepada rakan sekerja supaya tidak mengganggu kelancaran tugas hakiki untuk merawat pesakit,” katanya.

Pada Ahad, seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara dijangka menyertai protes yang dijadualkan berlangsung pada Isnin, kata wakil Kumpulan Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Baraka.

Katanya, protes tersebut diteruskan memandangkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan khidmat kontrak kumpulan itu tidak memenuhi tuntutan yang dibuat mereka.

Menurut Dr Umar, doktor kontrak itu membabitkan hospital di setiap negeri dikenal pasti termasuk dari Hospital Sungai Buloh iaitu salah satu pusat rawatan pesakit Covid-19.