X

Kindly register in order to view this article
!

Indonesia mula benarkan beberapa aktiviti sosioekonomi

Orang ramai juga kembali dibenarkan makan di warung, kedai makan atau restoran tetapi dalam tempoh 20 minit sahaja.- Foto CNN Indonesia
A
A

JAKARTA - Indonesia mula membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi walaupun tempoh perlaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) dilanjutkan dan kes kematian harian akibat Covid-19 melebihi angka seribu.

Bermula Isnin, pemerintah Indonesia membenarkan pasar, peniaga kecil, bengkel kenderaan, kedai gunting rambut dan pengusaha kecil yang lain kembali beroperasi sehingga jam 9 malam dengan protokol kesihatan yang ketat.

Orang ramai juga kembali dibenarkan makan di warung, kedai makan atau restoran tetapi dalam tempoh (dine-in) 20 minit sahaja.

"Dengan mempertimbangkan aspek kesihatan, aspek ekonomi dan dinamika sosial, saya memutuskan untuk melanjutkan penerapan PPKM dari tanggal 26 Julai sehingga 2 Ogos 2021," kata Presiden Joko Widodo dalam siaran menerusi YouTube Sekretariat Presiden.

PPKM darurat sebelum ini dikuatkuasakan sejak 3 Julai lepas sehingga 25 Julai, sebelum dilanjutkan sehingga Ahad dengan membataskan banyak kegiatan sosioekonomi.

Menurut data yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia setakat Ahad, sebanyak 1,266 kematian harian direkodkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 83,279 orang.

Kes positif keseluruhan di republik itu kini melebihi 3.1 juta kes dengan 573,908 pesakit aktif (dirawat). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!