'Secara peribadi saya sokong'

Rahmad ketika ditemui pemberita di Hopsital Melaka pada Isnin.
Rahmad ketika ditemui pemberita di Hopsital Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman menyokong tuntutan kira-kira 459 doktor kontrak di negeri ini termasuk 335 daripada mereka yang bertugas di Hopsital Melaka untuk diserap ke jawatan tetap.

Beliau bagaimanapun berkata, tindakan dibuat secara solidariti ataupun demostrasi secara aman berhubung perkara itu tidak wajar lebih-lebih lagi dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, status mereka itu di luar bidang kuasa kerajaan negeri dan hanya boleh ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Dalam keadaan kita darurat dan kritikal ini memanglah perkhidmatan serta tenaga mereka sangat diperlukan.

"Secara peribadi saya menyokong, namun kalau boleh janganlah diadakan demostrasi seperti itu.

"Hasrat yang mereka utarakan itu (diserap ke jawatan tetap) saya setuju," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat di Hospital Melaka, di Bukit Palah di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kontrak mogok, tuntut dua perkara

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, mereka yang menyertai perarakan protes itu tidak bertugas ketika itu dan ada dalam kalangan mereka yang bercuti, maka tidak timbul isu mereka keluar protes ketika sedang memberikan rawatan kepada pesakit ataupun sedang bertugas.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf sistem gas oksigen berpusat di Hospital Melaka akan dijalankan selama empat minggu bermula Isnin.

Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk menampung keperluan kadar penggunaan oksigen di Hospital Melaka berikutan peningkatan penggunaan mesin oksigen di wad unit rawatan rapi (ICU) dan wad pesakit Covid-19.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Rahmad menafikan berlaku kekurangan mesin sokongan oksigen di hospital berkenaan namun apa yang berlaku adalah tekanan oksigen rendah disebabkan penggunaan yang banyak selain masalah di sistem penyaluran gas oksigen.

ARTIKEL BERKAITAN: Nafi Hospital Melaka hadapi masalah bekalan oksigen