Hospital swasta nafi guna Ivermectin rawat pesakit Covid-19

Pil Invermectin yang dikatakan dapat merawat pesakit Covid-19. - Gambar hiasanPil Invermectin yang dikatakan dapat merawat pesakit Covid-19. - Gambar hiasan
Pil Invermectin yang dikatakan dapat merawat pesakit Covid-19. - Gambar hiasanPil Invermectin yang dikatakan dapat merawat pesakit Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menegaskan, pihaknya tidak menggunakan Ivermectin, iaitu ubat jenis antiparasit untuk merawat pesakit Covid-19.

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, sejak Januari hospital swasta mengamalkan protokol rawatan berdasarkan bukti yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan persatuan-persatuan perubatan antarabangsa untuk merawat pesakit Covid-19 dan Ivermectin tidak dimasukkan.

“APHM telah menghubungi hampir semua 152 ahlinya dan tiada satu pun yang menggunakan ubat antiparasit, Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 mereka.

“Kementerian Kesihatan telah mengarahkan beberapa hospital di bawahnya untuk menjalankan ujian klinikal ke atas Ivermectin, tetapi tiada satu pun hospital swasta yang terlibat dalam ujian tersebut.

"Hospital swasta hanya akan menggunakan perubatan ini selepas diluluskan dengan panduan lengkap daripada kerajaan. Bagaimanapun setakat ini tiada petunjuk berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pengumuman terbaharu KKM menetapkan Ivermectin sebagai rawatan ‘off-label’ untuk Covid-19 yakni ubat antiparasit itu hanya boleh digunakan di bawah pengawasan dan hospital swasta perlu berhati-hati dalam menggunakan ubat yang masih dalam peringkat kajian tanpa bukti kukuh keberkesanannya.

Dr Kuljit berkata, APHM memberi jaminan bahawa setakat ini, belum ada dalam kalangan ahlinya yang memberi Ivermectin kepada pesakit untuk tujuan merawat Covid-19 dalam sebarang kategori.

Justeru, persatuan itu menafikan berita-berita palsu di media sosial yang mendakwa beberapa hospital swasta telah berjaya merawat pesakit Covid-19 dengan menggunakan ubat berkenaan, yang tidak diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia atau Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, hospital swasta kini secara aktif menguruskan pesakit Covid-19 berdasarkan kapasiti dan keupayaan mereka, selain menyediakan kakitangan untuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega dan PPV di hospital persendirian sambil menambah hospital swasta turut menguruskan pesakit yang dipindahkan dari hospital kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Dr Kuljit berkata, sebanyak 44 hospital swasta dalam kawasan ‘Greater’ Lembah Klang telah memperuntukkan 951 katil untuk pesakit yang dipindahkan dari hospital kerajaan dan proses itu masih berjalan setiap hari. - Bernama